KOVIND mengangkat sumpah, semalam. - Agensi

New Delhi: Ram Nath Kovind semalam mengangkat sumpah sebagai presiden ke-14 India, sekali gus menjadi pemimpin kedua daripada masyarakat kasta rendah Dalit dipilih sebagai ketua negara.

Kovind yang juga bekas peguam dan gabenor negeri, dipilih ke jawatan tertinggi itu minggu lalu selepas menerima lebih 65 peratus undian daripada anggota Parlimen India dan dewan undangan negeri.

Dia ditemani isterinya awal pagi semalam untuk memberi penghormatan di memorial memperingati pejuang kemerdekaan Mahatma Gandhi di New Delhi.

Kovind, 71, dicalonkan Parti Bharatiya Janata (BJP) dalam langkah yang menurut analisis akan mengukuhkan kuasa Perdana Menteri Narendra Modi dan meningkatkan pengaruh politiknya menjelang pilihan raya pada 2019.

Menurutnya, dia akan menggunakan kedudukannya untuk menaik taraf golongan Dalit, masyarakat yang terpinggir dan paling miskin di India.

“Kepelbagaian orang India teras yang menjadikan kita begitu unik. Kita sangat berbeza namun begitu serupa dan bersatu,” katanya.

Kovind adalah presiden kedua daripada golongan Dalit selepas K R Narayan, yang memegang jawatan terbabit selama lima tahun bermula 1997. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:12 AM