Anggota keselamatan berkawal di luar Kedutaan Israel di Rabiyeh, Amman, Jordan. - Foto AFP
AFP

PENGAWAL keselamatan Kedutaan Israel di Amman, Jordan, menembak mati seorang lelaki yang menyerang pengawal itu dengan pemutar skru manakala seorang lagi rakyat Jordan terbunuh terkena tembakan yang dikatakan tidak disengajakan, semalam.

Kejadian berlaku ketika ketegangan antara Israel dan Palestin memuncak di Baitulmaqdis serta tunjuk perasaan besar-besaran di Jordan membantah keganasan Israel serta sekatan rejim Zionis di Masjidil al-Aqsa.

Rakyat Jordan itu yang datang ke sebuah apartmen dalam kawasan Kedutaan Israel bagi memasang perabot, menikam belakang pengawal keselamatan berkenaan dengan pemutar skru.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Israel, pengawal itu yang cedera ringan, menembak lelaki Jordan berkenaan, manakala pemilik apartmen yang berada di tempat kejadian juga terkena tembakan dan meninggal dunia di hospital.

Sumber keselamatan di Amman menyatakan mangsa yang maut itu dikenali sebagai Mohammed Jawawdeh, 17, manakala pemilik apartmen, Bashar Hamarneh, ialah seorang doktor.

Kerajaan Israel dalam kenyataannya hanya menyatakan ‘pengawal keselamatan’ namun sumberi keselamatan di Jordan menyatakan pengawal keselamatan kedutaan itu ialah Timbalan Pengarah Keselamatan Kedutaan Israel.

Polis Jordan sedang menyiasat kejadian itu dan kawalan keselamatan terhadap kedutaan, kini dipertingkatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 6:13 PM