POLIS memeriksa seorang lelaki di lebuh raya di Kandahar semalam ketika berusaha menjejaki 30 penduduk kampung yang diculik dua hari lalu. - EPA

Kandahar: Polis Afghanistan semalam melancarkan operasi mencari dan menyelamat sekurang-kurangnya 30 penduduk kampung yang dipercayai diculik Jumaat lalu oleh militan Taliban di Kandahar, wilayah di selatan negara itu.

Sekurang-kurangnya tujuh penduduk ditemui mati kelmarin di lebuh raya dari Kandahar ke Tarinkot, ibu negeri wilayah Uruzgan, kawasan penanaman popi.

Jurucakap polis Kandahar berkata, kumpulan itu mulanya menculik 70 orang tetapi kemudian membebaskan 30 mangsa.

Setakat ini belum ada pihak mengaku melakukan penculikan itu dan tidak jelas mengapa mereka diculik.

Pihak berkuasa Afghanistan bagaimanapun berkata, mereka percaya Taliban yang bertanggungjawab dan penduduk itu mungkin diculik kerana disyaki bekerjasama dengan kerajaan.

Orang awam semakin terperangkap dalam konflik di Afghanistan yang semakin buruk sejak kebelakangan ini.

Lebuh raya di negara itu menjadi semakin berbahaya dengan Taliban dan kumpulan bersenjata lain menjadikannya untuk menculik mangsa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 12:37 PM