DUTERTE (tengah) melihat senjata api yang dirampas daripada militan ketika melawat sebuah kem tentera di Marawi kelmarin. - AFP
Reuters

Marawi: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata, dia tidak lagi berminat menyambung rundingan damai dengan pemberontak Maoist dan merancang memburu kumpulan itu selepas tentera berjaya menawan semula Marawi.

Duterte yang bertemu askar di Marawi berkata, dia akan mengarahkan serangan terhadap sayap bersenjata komunis, Tentera Baru Rakyat (NPA), sejurus militan yang menawan Marawi ditumpaskan.

“Saya tidak mahu lagi bercakap mengenai kedamaian,” kata Duterte lewat kelmarin di sebuah kem tentera yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pertempuran.

Bunyi tembakan senjata api dan meriam kedengaran sepanjang empat jam lawatan berkenaan yang dirahsiakan atas sebab keselamatan.

Duterte yang lengkap berpakaian tentera mengedarkan jam dan bekalan serta berjanji menyediakan pistol, perisai badan dan kelengkapan lain kepada askar.

“Terdapat peningkatan aktiviti komunis. Selepas anda selesai di sini, kita akan memburu mereka pula,” katanya.

Kata Duterte, pemberontak komunis mengambil kesempatan daripada krisis di Marawi untuk menyerang tentera di Mindanao.

Pemberontakan komunis di Mindanao adalah yang paling lama di dunia dan menyebabkan ribuan nyawa terkorban.

Duterte sebelum ini membebaskan beberapa pemimpin utama komunis bagi membolehkan rundingan damai diadakan dengan kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, rundingan tertangguh beberapa kali dan akhirnya dihentikan Duterte selepas anggota NPA beberapa kali menyerang anggota keselamatan Filipina.

Dalam perkembangan terbaru, ketua polis Guihulngan, lima anggota dan seorang orang awam terbunuh semalam dalam satu serangan hendap di bandar Guihulngan di Pulau Negros, kata tentera.

Semua mangsa dipercayai diserang hendap anggota NPA ketika menyiasat satu kes tembakan di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 2:40 AM