SEORANG askar menggunakan teropong untuk melihat kedudukan militan di tengah bandar Marawi yang dibom pesawat tentera. - AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam memohon Kongres melanjutkan undang-undang darurat di Mindanao hingga hujung tahun ini, bagi memberi lebih masa kepada tentera menghapuskan kumpulan militan.

Mindanao dengan 22 juta penduduk itu mempunyai sejarah gerakan pemisah dan pemberontakan komunis yang panjang.

Undang-undang darurat diisytiharkan di Mindanao pada 23 Mei lalu apabila pemberontak Maute dan militan Daish menawan sebahagian bandar Marawi.

Sehingga kini, anggota militan bertahan di tengah Marawi walaupun tentera melancarkan serangan udara, meriam dan darat setiap hari.

Menurut pihak berkuasa, seramai 45 orang awam, 98 anggota keselamatan dan 413 militan terbunuh dalam konflik berkenaan.

“Objektif utama melanjutkan undang-undang darurat ialah membenarkan pasukan keselamatan meneruskan operasi tanpa dijejaskan dengan sebarang kekangan waktu.

“Kerajaan mahu memfokuskan kepada pembebasan Marawi, pemuliharaan dan pembinaan semula bandar itu,” kata jurucakap presiden, Ernesto Abella yang membaca surat daripada Duterte.

Peperangan yang masuk hari ke-57 semalam menyebabkan banyak bangunan termasuk rumah dan premis perniagaan di tengah Marawi musnah akibat dibom.

Duterte melantik satu pasukan khas untuk membangunkan semula Marawi dengan peruntukan 20 bilion peso (RM1.7 bilion). - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 11:24 AM