MODI (tengah) memberi hormat kepada anggota Parlimen selepas dia mengundi di Dewan Parlimen di New Delhi, semalam. - EPA

New Delhi: Anggota Parlimen India semalam mengundi untuk memilih presiden baru, yang pastinya datang dari golongan Dalit, kasta paling rendah di negara itu.

Pilihan raya berkenaan yang membabitkan 4,900 anggota Parlimen dipercayai akan mengukuhkan kuasa Perdana Menteri Narendra Modi.

Parti Bharatiya Janata yang diketuai Modi mencalonkan Ram Nath Kovind, bekas peguam berusia 71 tahun dari masyarakat Dalit.

Pencabar utamanya ialah, Meira Kumar, juga dari kasta Dalit yang dicalonkan pembangkang yang diketuai Parti Kongres.

Keputusan pengundian akan diumumkan Khamis depan. Bagaimanapun, Kovind dijangka menang mudah kerana BJP mempunyai jumlah anggota Parlimen jauh lebih ramai untuk menyokong calon berkenaan.

Anggota kedua-dua dewan di Parlimen Persekutuan dan Dewan Negeri di seluruh negara mengambil bahagian dalam pemilihan itu.

“Pilihan raya presiden kali ini adalah yang bersejarah. Ini kali pertama tidak ada parti yang membuat kenyataan negatif terhadap calon yang bertanding,” tulis Modi dalam akaun Twitternya kelmarin.

Ini adalah kali kedua seorang Dalit menjadi presiden India.

Masyarakat itu yang berjumlah kira-kira 200 juta daripada 1.3 bilion penduduk India adalah yang paling miskin dan disisih oleh kasta lain.

Meskipun dilindungi undang-undang, penindasan ke atas mereka berleluasa dan mereka sering dinafikan hak untuk mendapatkan pelajaran.

Dengan memilih Dalit menjadi presiden, BJP berharap mendapat sokongan masyarakat itu pada pilihan raya umum 2019 selepas majoriti penduduk Islam yang mewakili 14 peratus populasi India, menolak parti berkenaan kerana penindasan mereka terhadap Muslim. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 12:24 PM