SEORANG lelaki disyaki anggota Daish ditangkap pasukan keselamatan Iraq di Kota Lama Mosul. - Agensi
Reuters

Mosul: Tentera Iraq bertempur dengan militan Daish di Kota Lama Mosul semalam, 36 jam selepas kerajaan mengumumkan kemenangan di bandar yang diisytiharkan ibu kota pemerintahan khalifah kumpulan itu.

Pengumuman oleh Perdana Menteri Haider al-Abadi itu menandakan kekalahan terbesar militan berkenaan sejak menawan utara Iraq dalam serangan kilat tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, beberapa bahagian kecil Mosul masih belum selamat dan bandar itu musnah teruk akibat peperangan selama sembilan bulan.

Askar Iraq berbalas tembakan dengan militan di lokasi terakhir kumpulan itu di Mosul sebelum tengah malam kelmarin dan berlarutan hingga awal pagi semalam, kata tiga penduduk yang tinggal di seberang Sungai Tigris.

Helikopter tentera melepaskan tembakan di Kota Lama dan kepulan asap menjulang naik ke angkasa walaupun tidak jelas sama ada ia berpunca daripada letupan terkawal atau bom yang diletupkan militan, kata penduduk melalui telefon.

“Kami masih hidup dengan suasana perang walaupun pengumuman kemenangan dibuat dua hari lalu,” kata seorang penduduk, Fahd Ghanim, 45.

Seorang lagi penduduk berkata, letupan itu menyebabkan gegaran dirasai sejauh satu kilometer.

Sementara itu, seorang pegawai tentera Iraq menjelaskan, aktiviti itu adalah sebahagian operasi pembersihan.

“Masih terdapat militan yang bersembunyi di lokasi berbeza.

“Sekiranya mereka (militan) hilang di sini dan muncul di sana, kami akan menyerang mereka,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 6:36 AM