ULA dan suami, Hussam. - Agensi

Kaherah: Ula Al-Qaradawi, anak perempuan ulama terkenal Yusuf Al-Qaradawi, serta suaminya Hussam Khalaf - anggota majlis tertinggi Parti Al-Wasat ditahan di penjara berasingan selepas kedua-duanya disoal siasat oleh pendakwa raya Mesir.

Peguam mereka Ahmad Abu Al-Ula berkata, Ula dipindahkan ke penjara wanita di El Qanater dan akan dikurung bersendirian manakala suaminya akan ditahan di penjara kawalan ketat di Tora.

Menurut Ahmad, Ula enggan menjawab sebarang soalan kecuali peguamnya hadir bersama.

Mereka berdepan beberapa tuduhan, termasuk hubungan dengan Ikhwanul Muslimin yang diisytiharkan Mesir sebagai kumpulan pengganas.

Ula dan Hussam ditangkap awal minggu ini oleh pihak berkuasa Mesir ketika mereka bercuti.

Pendakwa raya kelmarin memutuskan menahan mereka selama 15 hari atas tuduhan membiayai Ikhwanul Muslimin dan menyertai kumpulan pengganas yang merancang mengganggu pelaksanaan perlembagaan, mengingkari kerajaan, melanggar kebebasan peribadi rakyat serta mengancam penyatuan dan keamanan negara.

Tuduhan terhadapnya turut merangkumi mengetuai kumpulan pengganas yang menyasarkan pencabulan organisasi kerajaan serta menyasarkan kemudahan awam untuk melumpuhkan kerajaan, mengganggu sistem yang sedia ada serta sengaja menggugat keselamatan awam.

Ia turut merangkumi dakwaan menyediakan pembiayaan kewangan untuk Ikhwanul Muslimin dari luar negara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 10:24 AM