BENDERA Saudi dan sekutunya dikibarkan di sepanjang Sungai Nil menjelang mesyuarat Menteri Luar Mesir, Arab Saudi, UAE dan Bahrain di Kaherah, semalam. - Reuters

Kaherah: Empat menteri luar negara Arab bertemu di ibu negara Mesir ini semalam bagi menimbang sekatan tambahan terhadap Qatar susulan jawapan terhadap 13 tuntutan yang mereka mahu Doha penuhi..

Akhbar yang mempunyai hubungan dengan kerajaan di rantau itu membayangkan menteri luar Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahraintidak bersetuju dengan jawapan Qatar itu.

Pengarang akhbar al-Ittihad di Abu Dhabi berkata, Qatar dengan populasi penduduk dua juta berbanding Saudi 31 juta, “Berjalan berseorangan dalam mimpi dan ilusinya, jauh dari saudara di Teluk Arab.”

Empat negara Arab itu memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar pada 5 Jun lalu serta menuduh Doha menyokong pengganas dan berbaik dengan Iran, musuh ketat negara Teluk dan berkongsi telaga minyak dengan Doha.

Qatar yang profil diplomatik dan komersial meningkat mendadak dalam tempoh 20 tahun hasil pendapatan minyaknya, menafikan tuduhan berkenaan.

Pegawainya menyifatkan , tuntutan itu sebagai melampau dan mendakwa Arab Saudi dan sekutunya tidak berniat untuk berunding sebaliknya mahu melemahkan kedaulatan Doha.

Qatar berdepan lebih banyak sekatan dan kemungkinan disingkir daripada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sekiranya jawapan terhadap tuntutan itu gagal memuaskan hati negara Arab yang berbincang di Kaherah.

Jawapan Qatar terhadap tuntutan itu tidak didedahkan kepada umum.

Arab Saudi dan sekutunya menuntut Qatar menghentikan sokongan kepada Ikhwanul Muslimin, menutup stesen televisyen al Jazeera, menutup pangkalan tentera Turki dan menurunkan taraf hubungan diplomatiknya dengan Iran. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 10:23 AM