GAMBAR hiasan
Antara News

DUA bot nelayan berbendera Malaysia dengan awak-awak warga Vietnam ditahan Badan Pemeliharaan Keamanan (Baharkam) Polis Republik Indonesia (Polri) di Periaran Natuna, 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kepri, Inspektor General Sam Budigusdian berkata, dalam dua bot yang ditahan itu terdapat 25 awak-awak warga Vietnam yang dipercayai melakukan kegiatan perikanan tanpa kebenaran.

Satu bot mengandungi 21 awak-awak diiringi satu lagi bot yang mengandungi empat awak-awak, katanya.

“Kedua-dua bot berbendera Malaysia walaupun awak-awaknya warganegara Vietnam," katanya.

Turut dirampas, satu tan ikan pelbagai jenis dipercayai hasil penangkapan di perairan Natuna.

Polis juga akan menyiasat mengapa bot itu menggunakan bendera Malaysia apabila semua krunya warga Vietnam.

“Adakah bot itu memang dari Malaysia atau menggunakan benderanya untuk mengaburi pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Bot dan awak-awak dibawa ke Batam dan diserahkan kepada petugas Pengawasan Sumber Daya Kelautan dan Perikanan, katanya.

Awak-awak Vietnam itu akan dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Perikanan negara itu dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam tahun dan denda Rp20 bilion (RM6,438,205).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 10:14 AM