ORANG awam menaiki kenderaan tentera untuk pulang ke kediaman mereka di Mosul. - Reuters
Reuters

Mosul: Selepas pertempuran sengit lapan bulan tentera Iraq semalam akhirnya berjaya menawan semula Masjid al-Nuri di Mosul, tempat Daish mengumumkan pemerintahan khalifahnya, tiga tahun lalu, kata tentera Iraq.

Pihak berkuasa Iraq kini menjangkakan perang menawan semula Mosul bakal berakhir dalam beberapa hari ini berikutan anggota Daish yang masih ada di bandar itu kini terperangkap di beberapa kejiranan di kota lamanya.

Penawanan semula masjid berusia 850 tahun - dimusnahkan Daish minggu lalu - menjadi kemenangan simbolik yang besar untuk tentera Iraq dalam usaha menawan semula Mosul yang menjadi ‘ibu negara’ Daish di negara itu.

Jurucakap tentera Iraq, Brigadier Jeneral Yahya Rasool berkata: “Negara khayalan mereka sudah jatuh.”

Anggota Daish meletupkan masjid itu dan menara condongnya minggu lalu ketika tentera Iraq yang dibantu Amerika Syarikat (AS) semakin mara ke arahnya. Bendera hitam Daish dikibarkan di menara digelar al-Hadba (‘Si Bongkok’) sejak Jun 2014.

Perdana Menteri Haider al-Abadi mengeluarkan arahan untuk menamatkan perang itu, kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Kejatuhan Mosul seterusnya menandakan berakhirnya ‘pemerintahan khalifah’ Daish di Iraq walaupun kumpulan pelampau itu masih mengawal kawasan di barat serta selatan bandar berkenaan. Pusat pentadbirannya di Raqqa, Syria juga kini menjadi sasaran tentera Kurdis disokong AS.

Ribuan orang awam dan askar terbunuh dalam pertempuran di Mosul itu. Kira-kira 900,000 orang - hampir separuh penduduk praperang di bandar itu - melarikan diri dari sana dan kini menginap di kem pelarian atau bersama rakan serta saudara mara, lapor kumpulan bantuan kemanusiaan.

Mereka yang terperangkap di bandar berkenaan berdepan kebuluran dan kekurangan bekalan asas, selain risiko tinggi kematian serta kecederaan. Banyak bangunan juga musnah atau rosak teruk sepanjang perang itu.

Menurut kenyataan tentera, unit elit Perkhidmatan Antikeganasan (CTS) kini mengawal masjid itu manakala pasukan tentera campuran antarabangsa diketuai AS turut menyediakan bantuan di darat serta udara.

Ketua Daish, Abu Bakar al-Baghdadi mengisytiharkan dirinya ‘khalifah’ dari masjid berkenaan pada 4 Julai 2014 sekaligus mendedahkan identitinya kepada dunia. Rakaman ucapan itu sehingga hari ini satu-satunya video menunjukkan dirinya sebagai ‘khalifah.’

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 9:01 AM