MARIA Pilar Abel
DALI
Reuters

Madrid: Seorang hakim di sini mengarahkan kubur pelukis berfahaman surealisme Sepanyol, Salvador Dali digali bagi membolehkan sampel DNA diambil berikutan dakwaan seorang wanita bahawa dia anak artis berkenaan.

Mahkamah menamakan wanita itu sebagai Maria Pilar Abel dari bandar Girona di timur laut Sepanyol.

Menurutnya, ujian DNA itu perlu bagi membuat pembandingan genetik dengan Dali kerana ketiadaan peninggalan biologi atau peribadi yang lain.

Maria yang dilahirkan pada 1956 mendakwa ibunya mempunyai hubungan sulit dengan pelukis itu pada 1950-an ketika bekerja dengan keluarga Dali.

Dia berusaha sejak 2007 untuk mendapatkan pengktirafan bahawa pelukis itu bapanya.

Maria menjalani tiga ujian DNA, tetapi tidak menerima keputusan ujian itu.

Dali yang meninggal dunia pada 1989 ketika berusia 84 tahun adalah antara pelukis terkenal zaman surrealis abad ke-20.

Selain melukis, dia juga menghasilkan filem, membuat skulptur dan iklan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 8:18 AM