ANGGOTA pasukan tindakan khas polis Filipina bersiap sedia menyerang kedudukan militan di Marawi, semalam. - Reuters

Marawi: Seorang daripada militan paling dikehendaki Amerika Syarikat mungkin berjaya meloloskan diri dari pertempuran lima minggu di bandar di selatan Filipina ini.

Ketua tentera Markas Mindanao Barat, Leftenan Jeneral Carlito Galvez berkata, Isnilon Hapilon, militan veteran yang juga dipercayai menjadi ketua Daish Asia Tenggara, tidak dilihat di zon pertempuran di Marawi.

Cubaan tentera menankap Isnilon mencetuskan keganasan kumpulan militan yang mengibarkan bendera hitam Daish dan dengan sokongan beberapa militan asing menawan sebahagian bandar Marawi pada 23 Mei lalu.

Presiden Rodrigo Duterte kemudian mengisytiharkan undang-undang tentera di bandar itu dan seluruh Mindanao serta berikrar untuk menghapuskan kumpulan militan terbabit.

“Dia (Isnilon) tidak berada di kawasan itu. Ada laporan menyatakan dia meloloskan diri. Kami masih cuba mengesahkan laporan berkenaan,” kata Galvez dalam wawancara dengan stesen radio DZBB.

Ketika ditanya sama ada Isnilon bersembunyi, dia berkata: “Ya. Dia kalah teruk. Majoriti orangnya, lebih separuh, mati.”

Isnilon berada dalam senarai orang paling dikehendaki Amerika Syarikat kerana pembabitannya menculik tiga rakyat Amerika pada 2001.

Semalam, tentera Filipina meneruskan serangan udara dan meriam terhadap beberapa kawasan di Marawi yang masih dikuasai militan. Pertempuran dari rumah ke rumah juga berlaku.

“Pertempuran masih sengit. Kami berjaya menguasai beberapa kawasan penting,” kata Galvez.

Kira-kira 300 militan dan 67 tentera kerajaan terbunuh dalam pertempuran selama hampir lima minggu itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 5:40 AM