Jakarta: Pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah menggesa Mahkamah Rasuah Jakarta menghukum penjara dua bekas pegawai di Kementerian Dalam Negeri kerana terbabit dalam skandal salah guna kuasa kad pengenalan elektronik atau e-ID.

Pendakwa raya meminta hukuman tujuh tahun penjara terhadap bekas ketua pengarah pendaftaran penduduk dan awam, Irman serta denda Rp500 juta (RM161,155).

Pendakwa raya juga meminta hukuman penjara lima tahun terhadap bekas pengarah pentadbiran pengurusan maklumat rakyat, Sugiharto dan denda Rp400 juta (RM128,924).

“Kedua-dua defendan terbukti bersalah atas tuduhan rasuah ini,” kata ketua pendakwa raya, Irene Putrie kepada mahkamah kelmarin.

Kedua-dua tertuduh didakwa terbabit dalam skandal projek e-ID berjumlah Rp5.9 trilion (RM1.9 bilion) dan menyebabkan negara kerugian mencecah Rp2.3 trilion (RM742 juta).

Seorang ahli perniagaan, Andi Agustinus atau dikenali sebagai Andi Narogong juga dinamakan sebagai suspek dan dibicarakan.

Pendakwa raya juga mahu mahkamah mengarahkan kedua-dua suspek memulangkan semula wang rakyat yang dicuri mereka.

Kedua-dua tertuduh dijadual memberi kenyataan pembelaan mereka pada 10 Julai ini sebelum mahkamah membuat keputusan.

Skandal pengeluaran kad pengenalan canggih e-ID itu dianggap skandal rasuah terbesar di Indonesia dan membabitkan beberapa ahli politik serta pegawai kanan kerajaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 7:36 AM