Mohammed bin Salman
Agensi

Dubai: Raja Salman semalam melantik anaknya, Mohammed bin Salman sebagai putera mahkota, menggantikan anak saudaranya, Putera Mohammed bin Nayef dalam satu pengumuman mengejutkan yang sekali gus mengesahkan Mohammed yang baru berusia 31 tahun bakal raja negara itu.

Menurut dikri di raja yang dikeluarkan, Putera Mohammed Bin Nayef, ketua antikeganasan yang dihormati di Washington kerana memerangi kempen pengeboman al-Qaeda sepanjang 2003-2006 dilucut semua jawatan dan digantikan oleh Mohammed bin Salman yang akan turut memegang jawatan timbalan perdana menteri di samping mengekalkan jawatannya dalam kementerian pertahanan, minyak dan beberapa portfolio lain.

Keputusan Salman melantik dan mengukuhkan kuasa anaknya diluluskan oleh 31 daripada 34 anggota sebuah majlis yang dianggotai anggota kanan keluarga Al-Saud yang memerintah negara itu.

Meskipun, pelantikan Mohammed bin Salman memang dijangka sesetengah pihak tetapi ia menjadi kejutan kerana dibuat ketika Arab Saudi berdepan dengan ketegangan yang semakin meningkat dengan Qatar dan Iran serta terbabit dalam perang di Yaman.

Dilahirkan pada 31 Ogos 1985, Mohammed bin Salman memainkan peranan utama dalam rancangan yang digelar Wawasan 2030 yang bertujuan membawa perubahan sosial dan ekonomi ke negara yang ekonominya bergantung kepada minyak itu.

Pemerhati dan diplomat berkata, dalam usianya yang baru 31 tahun, Mohammed memegang kuasa yang luar biasa sehingga sebahagian mereka menggelarnya ‘Mr Everything.’

Dia yang lulus dalam bidang undang-undang dari Universiti Raja Saud di Riyadh bagaimanapun di sifatkan sebagai amat pintar.

Dalam profil tahun lalu, Bloomberg Businessweek berkata, putera itu bekerja 16 jam sehari.

Mohammed bin Salman adalah bapa dua anak lelaki dan dua perempuan dan tidak seperti kerabat di raja Saudi lain, dia hanya mempunyai seorang isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 6:25 AM