Reuters

Marawi: Tentera Filipina melancarkan serangan terbaru dalam usaha menghapuskan saki-baki anggota militan dan pemberontak yang masih menguasai bandar ini sebelum sambutan Aidilfitri nanti.

Tentera bimbang, pemberontak lain mungkin menghulurkan bantuan kepada kumpulan Maute yang dibantu militan Daish selepas Ramadan berakhir.

Pertempuran di Marawi sudah masuk minggu ke lima dan mengakibatkan seramai 350 orang terbunuh, majoritinya anggota militan.

Penduduk yang berjaya keluar dari Marawi memberitahu, mereka melihat banyak mayat di bawah runtuhan bangunan yang dibom pesawat tentera.

“Kami menyasarkan untuk membebaskan Marawi menjelang akhir Ramadan ini.

“Kami tidak meletakkan sebarang tarikh akhir kerana sedar dengan kesukaran dalam pertempuran ini.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk membebaskan Marawi secepat mungkin,” kata jurucakap tentera, Restituto Padilla.

Serangan mengejut ke atas Marawi oleh kumpulan pemberontak Maute dan ratusan militan Daish mengejutkan rantau Asia Tenggara.

Konflik itu mencetuskan kebimbangan kemungkinan militan yang pulang dari perang di Syria dan Iraq mengancam rantau ini.

Padilla memberitahu, tentera mahu mengelak konflik itu berlanjutan selepas Ramadan berakhir beberapa hari lagi.

“Kami memantau beberapa kumpulan pemberontak dan berharap mereka tidak menyertai pertempuran ini,” katanya.

Beberapa penduduk Islam di Marawi sebelum ini memberi amaran beberapa kumpulan pemberontak mahu menyertai pertempuran itu selepas Ramadan berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 7:16 AM