ABU Bakr al-Baghdadi, ketua Daish. - Agensi
Agensi

Damsyik: Stesen televisyen Syria semalam memetik beberapa laporan yang menyatakan pemimpin Daish yang juga pengganas paling dikehendaki di dunia, Abu Bakr al-Baghdadi terbunuh dalam satu serangan udara.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama Abu Bakr dilaporkan terbunuh. Ramai pakar meragui laporan terbaru itu dan ia mungkin tidak benar.

Laporan itu dilihat bertujuan memberi kelebihan kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad dan menjadi propaganda kejayaan sementara rejim itu.

Media rasmi Daish Amaq juga tidak mengesahkan atau menafikan laporan berkenaan.

Laporan terbaru itu menyebut Abu Bakr terbunuh dalam serangan udara Raqqa, Iraq yang dianggap ibu negara pemerintahan khalifah Daish.

Kumpulan aktivis Syria, Raqqa24 ada melaporkan serangan di Raqqa yang membunuh sekurangnya tujuh orang awam kelmarin tetapi tidak menyebut mengenai nasib Abu Bakr.

Rakaman serangan udara terhadap Raqqa sejak minggu lalu menunjukkan bom fosferus digugurkan di bandar itu menyebabkan beberapa bangunan terbakar.

Abu Bakr dipercayai bersembunyi di kawasan padang pasir di luar Mosul di utara Iraq.

Namun, agensi perisikan percaya dia berjaya melarikan diri dari bandar itu yang kini ditawan tentera Iraq.

Abu Bakr juga dipercayai melarikan diri dan cuba memasuki Raqqa.

Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$25 juta (RM107 juta) kepada sesiapa yang memberi maklumat hingga Abu Bakr ditangkap atau dibunuh.

Laporan mengenai kematian Abu Bakr itu timbul ketika tentera Iraq mendakwa timbalan ketua Daish itu, Ayad al-Jumaili terbunuh dalam serangan udara berhampiran sempadan Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 8:04 AM