ASKAR Filipina menunjukkan wang yang ditemui di sebuah rumah dipercayai milik anggota Maute di Marawi. - EPA
Reuters

Marawi (Filipina): Tentera Filipina semalam menemui bungkusan wang kertas dan cek bernilai kira-kira AS$1.6 juta (RM6.8 juta) ditinggalkan militan Islam yang bersembunyi di bandar Marawi, penemuan yang didakwa bukti kumpulan itu dalam proses berundur.

Tentera berkata demikian selepas merampas semula beberapa bangunan ditawan kumpulan itu.

Peti besi sarat dengan 52.2 juta peso (RM4.5 juta) dan cek bernilai 27 juta peso (RM2.3 juta) itu ditemui dalam sebuah rumah.

“Penemuan berkenaan menunjukkan mereka melarikan diri kerana tentera kerajaan kini memberi tumpuan untuk memusnahkan mereka,” kata Pegawai Operasi Marin, Rowan Rimas pada sidang akhbar di bandar itu.

Asap hitam berkepul dari kawasan berhampiran satu masjid dan tasik selepas dibom pesawat OV-10 dan tembakan meriam.

Pertempuran di Marawi itu mencetuskan kebimbangan kumpulan militan Daish yang semakin lemah di Syria dan Iraq sedang membina kubu di Mindanao.

Menurut tentera, kira-kira 40 militan di bandar itu warga asing dari Indonesia dan Malaysia selain India, Arab Saudi, Maghribi serta Chechnya.

Kumpulan itu bersedia untuk pertempuran jangka lama dengan menyimpan senjata dan makanan di dalam terowong, ruangan bawah tanah, masjid serta madrasah, kata pihak berkuasa.

Kempen ketenteraan bergerak perlahan kerana ratusan orang masih terperangkap atau dijadikan tebusan di tengah bandar itu.

“Dalam masa beberapa hari lagi, kami akan dapat membersihkan seluruh bandar itu,” kata Pegawai Kanan tentera bersenjata, Jeneral Eduaro Año dalam temu bual radio.

Pertempuran meletus di Marawi selepas satu serbuan bertujuan menangkap Isnilon Hapilon, yang Daish isytihar sebagai ketuanya atau ‘amir’ di Asia Tenggara tahun lalu susulan sumpah setianya kepada kumpulan itu.

Sementara itu, semalam polis menangkap seorang lelaki dipercayai bapa dua beradik yang mengetuai kumpulan Maute.

Cayamora Maute ditangkap bersama menantu perempuan serta lelakinya dan seorang wanita dipercayai isterinya ketika kereta mereka dihentikan di pos kawalan di Davao, kata pegawai polis daerah Alexander Tagum.

“Sebagai ketua keluarga dan bapa dua beradik Maute, saya rasa dia mampu memujuk mereka menghentikan pertempuran di Marawi serta menyerah diri kepada kerajaan,” kata jurucakap tentera daerah Brigadier Jeneral Gilbert Gapay pada sidang media sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 9:11 AM