Agensi

Jakarta: Pendakwa raya menggesa bekas Menteri Kesihatan Indonesia, Siti Fadilah Supari dihukum penjara enam tahun dan didenda kerana rasuah berkaitan perolehan peralatan perubatan pada 2005.

Pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia, Ali Fikir juga mendesak Siti didenda Rp500 juta (RM161,074).

“Kami mendesak panel hakim mengisytiharkan tertuduh bersalah menerima rasuah,” kata Ali di Mahkamah Rasuah Jakarta semalam.

Menurut pendakwa raya, Siti terbukti bersalah menyalahgunakan kuasanya dalam perolehan peralatan perubatan untuk Pusat Masalah Kesihatan pada 2005.

Tindakan Siti menyebabkan negara mengalami kerugian lebih Rp6 bilion (RM1.93 juta).

Siti juga dituduh menerima rasuah berjumlah Rp1.9 bilion (RM612,075) daripada pengarah kewangan PT Graha Ismaya, Sri Wahyuningsih dalam bentuk 20 cek pengembara.

Dia juga dituduh menerima rasuah berjumlah Rp1.3 bilion (RM418,148) dalam bentuk puluhan cek daripada presiden PT Graha Ismaya, Masrizal Achmad Syarif.

Mahkamah kemudian menetapkan satu tarikh untuk mengumumkan keputusan perbicaraan dan hukuman terhadap Siti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 3:17 AM
Skip this ad x