PASUKAN keselamatan menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan di Kabul. - AFP
AFP

Kabul: Empat orang terbunuh selepas polis melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan antikerajaan di Kabul yang membantah serangan berdarah Rabu lalu yang mengorbankan 90 orang dan mencederakan ratusan lain.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Waheed Majrooh berkata, empat orang maut, manakala lapan cedera selepas polis melepaskan tembakan dan menggunakan meriam air untuk menghalang puluhan penunjuk perasaan berarak ke kediaman rasmi presiden bagi mendesak peletakan jawatan kerajaan susulan kejadian berkenaan.

Orang ramai semakin berang terhadap kerajaan susulan serangan Rabu lalu itu yang - dianggap terburuk di Kabul sejak 2001.

Penunjuk perasaan semalam melaungkan slogan antikerajaan dan anti-Taliban berhampiran lokasi serangan.

Serangan ketika Ramadan itu menunjukkan kumpulan militan berupaya menyerang di ibu negara yang sepatutnya tempat paling selamat kerana turut menjadi lokasi istana presiden serta kedutaan asing.

Penduduk yang berang mendesak kerajaan menjelaskan kegagalan menerima maklumat atau risikan berhubung perancangan serangan berkenaan.

Badan risikan Afghanistan mendakwa serangan dilancarkan Rangkaian Haqqani yang bersekutu dengan Taliban. Bagaimanapun, Taliban menafikan mereka bertanggungjawab.

Susulan itu, Presiden Ashraf Ghani dijangka meluluskan hukuman mati terhadap 11 banduan Taliban dan Haqqani sebagai balasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 3:13 AM