Kepulan asap dari kawasan yang dibom pesawat tentera udara Filipina, hari ini. - Foto AFP
Agensi

JENERAL yang mengetuai perang antara tentera Filipina dengan militan di Marawi dilucutkan kuasa memerintah hari ini,

Brigadiar Jeneral Nixon Fortes yang memerintah briged tentera darat di Marawi, digantikan timbalannya, Kolonel Generoso Ponio dan jurucakap tentera menegaskan penggantian itu tiada kaitan dengan perang yang sedang berlangsung sekarang.

Setakat ini, 38 tentera dan polis terbunuh dalam pertempuran di Marawi, termasuk 11 tentera yang maut apabila bom yang digugurkan pesawat tentera udara Rabu lalu, mengenai sekumpulan tentera yang sedang bertempur dengan militan di Marawi.

Menurut Reuters, menurut sumber tentera perang di Marawi bukan punca Forters dilucutkan kuasa tetapi kerana tidak semua anggotanya berada di Marawi ketika militan sedang berkumpul sehingga mereka menyerang dan menawan Marawi.

Tentera sudah mendapat maklumat melalui risikannya bahawa militan, termasuk pejuang asing sedang berkumpul di Marawi namun tentera di bawah pemerintahan Fortes tidak mengambil langkah awal.

Sebelum ini, tentera Filipina menyatakan jumlah militan di Marawi tidak sampai 100 orang, antara 40 hingga 60 orang, namun semalam, Setiausaha Pertahanannya serta pemerintah tentera mengesahkan kira-kira 500 militan menyerang dan menawan Marawi dan sehingga semalam, jumlah militan maut ialah 120 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 6:01 PM