BEBERAPA rumah terbakar selepas pesawat tentera Filipina melakukan serangan udara di Marawi, semalam. - AP
Agensi

Marawi: Tentera Filipina meningkatkan serangan di bandar ini semalam, tempat mereka menghadapi pertempuran dengan kumpulan militan sejak lima hari lalu.

Mereka juga berikrar tidak akan menghentikan serangan di bandar yang majoriti penduduknya beragama Islam, walaupun Ramadan sudah bermula.

Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di Pulau Mindanao sebagai tindak balas terhadap pertempuran yang sehingga ini sudah meragut sekurang-kurangnya 48 nyawa serta mendakwa ia sebahagian kempen kumpulan Daish untuk menubuhkan kerajaan khalifah tempatan.

“Kami sudah mengenal pasti tempat mereka bersembunyi. Kami akan menyasarkan serangan udara untuk memusnahkan pengganas itu,” kata jurucakap tentera tempatan, Leftenant Colonel Jo-ar Herrera.

Trak membawa anggota marin tambahan juga dilihat memasuki Marawi, antara bandar paling banyak didiami Muslim di Filipina.

Pertempuran meletus Selasa lalu apabila puluhan lelaki bersenjata merusuh di tengah bandar berkenaan sebagai tindak balas terhadap cubaan tentera untuk menangkap Ismail Hapilon, militan veteran Filipina yang dianggap ketua Daish tempatan.

Tiga belas askar, dua polis dan 31 militan terbunuh dalam pertempuran itu, menurut pihak berkuasa. Dua orang awam juga disahkan mati di sebuah hospital yang diduduki kumpulan berkenaan.

Antara militan yang terbunuh ialah beberapa warga asing, termasuk dua rakyat Malaysia yang disahkan sebagai Dr Kamsa Yahya dan Abdurahman Asmawi.

Duterte berikrar untuk menghapuskan ancaman militan itu yang menurutnya milik kumpulan pengganas Maute tempatan dan disokong penjenayah di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Duterte juga berkata kelmarin, dia bersedia berunding dengan pemimipin kumpulan itu.

Jurucakapnya. Ernesto Abella berkata, ia sebahagian tawaran yang dibuat sempena Ramadan yang bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 2:55 AM