Tentera Filipina melancarkan operasi memburu kumpulan Maute di Marawi. FOTO AFP
Agensi

TENTERA Filipina melancarkan serangan untuk membersihkan bandar Marawi di selatan negara itu daripada kumpulan militan selepas ribuan penduduk melarikan diri sebaik kumpulan berkenaan menawan sebahagian besar bandar itu dan membakar bangunan serta membunuh orang awam.

Ratusan orang awam termasuk kanak-kanak berlindung di sebuah kem tentera di bandar Marawi, tempat militan yang ada hubungan dengan Daish menawan beberapa tebusan serta membebaskan lebih 100 banduan dari dua penjara.

Presiden Rodrigo Duterte mengumumkan penguatkuasaan undang-undang tentera di Mindanao, pulau kedua terbesar negara itu Selasa lalu sebagai usaha mengekang merebaknya keganasan selepas kumpulan militan mengganas di bandar yang mempunyai 200,000 penduduk itu.

Datuk Bandar Marawi, Majul Gandamra berkata, sebahagian anggota Maute, kumpulan militan yang berikrar taat setia kepada Daish, masih bersembunyi di dalam bangunan dan tembak-menembak masih berlaku tengah hari tadi.

“Mereka masih di situ, dikepung oleh tentera. Mereka melepaskan tembakan rambang,”  kata Gadamra.

Pertempuran bermula dengan kegagalan cubaan tentera Filipina untuk menangkap beberapa anggota Maute.

Tujuh askar dan 13 militan terbunuh sejak Khamis lalu, kata tentera.

Maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa tidak jelas, begitu juga dengan status tebusan yang ditawan Maute.

Dalam pada itu, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada ada orang awam terbunuh atau cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 2:29 PM