Anggota pasukan keselamatan Filipina memeriksa kenderaan penduduk yang melarikan diri dari Marawai selepas berlaku pertempuran sengit antara tentera dengan militan menyebabkan undang-udang tentera dilaksanakan mulai hari ini. - Foto AFP

MILITAN yang mengganas di selatan Filipina memenggal kepala seorang ketua polis di Marawi, kata Presiden Rodrigo Duterte yang mengisytiharkan undang-undang tentera di wilayah berkenaan mulai hari ini.

Duterte yang bercakap pada sidang akhbar di Manila, hari ini, berkata ketua polis di Malabang itu dalam perjalanan pulang ke rumah apabila dia ditahan di tengah perjalanan oleh kumpulan militan Islam yang kemudian memenggal kepalanya.

Pertempuran sengit berlaku apabila tentera Filipina menyerbu sebuah rumah di Marawi yang dipercayai tempat persembunyian Isnilon Hapilon, iaitu ketua kumpulan Abu Sayyaf.

Amerika menawarkan ganjaran AS$5 juta terhadap Isnilon, sama ada hidup atau mati.

Berikutan serbuan itu, lebih 100 militan bersenjata menyerang beberapa lokasi di Marawi, termasuk membakar bangunan kerajaan menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri.

Dua anggota tentera dan seorang polis terbunuh dalam pertempuran itu.

Duterte yang memendekkan lawatannya ke Russia, memberi amaran ‘bertindak keras’ dengan melaksanakan undang-udang tentera di selatan Filipina.

“Jika perlu, ia akan dikuatkuasakan selama setahun. Jika boleh diselesaikan dalam sebulan, saya akan gembira,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 7:06 PM