Tentera Filipina berkawal di bangunan kerajaan di bandar Davao, selatan negara itu susulan pengisytiharan undang-undang tentera. FOTO Agensi
Reuters

PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte berkata, dia akan bertindak ‘kasar’€™ terhadap keganasan dan undang-undang tentera di Pulau Mindanao akan dikuatkuasakan selama setahun jika perlu.

Duterte memendekkan lawatan ke Russia dan mengumumkan penguatkuasaan undang-undang tentera di pulau di selatan negara itu selepas pertempuran sengit meletus ketika pasukan keselamatan menyerbu tempat persembunyian militan yang ada hubungan dengan Daish.

“Kepada rakyat Filipina yang mempunyai pengalaman diperintah undang-undang tentera. Ia tidak akan ada perbezaan dengan undang-undang tentera yang dikuatkuasakan Presiden (Ferdinand) Marcos. Saya akan bertindak ‘kasar’,” kata Duterte dalam wawancara dengan Penolong Setiausaha Komunikasinya ketika dalam penerbangan pulang ke Manila.

Menurutnya, jika undang-undang itu perlu dikuatkuasakan selama setahun, dia akan lakukannya.

“Jika ia hanya boleh diselesaikan dalam sebulan, saya akan gembira. Kepada rakyat Filipina, jangan bimbang. Saya dalam penerbangan pulang. Saya akan menangani masalah itu sebaik saya tiba,” katanya.

Dua anggota tentera dan seorang polis terbunuh manakala 12 orang cedera dalam pertempuran di Marawi, bandar di Mindanao yang menyaksikan kumpulan militan Maute menguasai bangunan dan membakar sebuah sekolah dan pusat tahanan.

Serbuan semalam dilakukan untuk menawan Isnilon Hapilon, pemimpin kanan kumpulan Abu Sayyaf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 11:57 AM