TRUMP dan isteri diiringi pengawal keselamatan ketika melawat sebuah gereja di Baitulmaqdis, semalam. - EPA
Reuters

Tel Aviv: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang tiba di Israel semalam, persinggahan kedua dalam rangka lawatan sulung ke luar negara, berkata, dia ada sebab baru bagi mengharapkan keamanan dan kestabilan di Asia Barat selepas melawat Arab Saudi.

Dalam lawatan selama 28 jam itu, Trump secara berasingan berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Trump melawat Tembok Barat dan sebuah gereja di Baitulmaqdis sebelum berkunjung ke Baitullaham hari ini.

“Ketika lawatan saya beberapa hari ini, saya menemui sebab baru untuk berharap.

“Di hadapan kita ini ada peluang yang jarang muncul untuk mengembalikan keselamatan dan kestabilan serta keamanan di rantau ini dan penduduknya, menumpaskan keganasan dan mencipta masa depan harmoni, kemakmuran dan keamanan.

“Namun semua ini dapat dicapai sekiranya kita bekerjasama. Tiada jalan lain,” kata Trump dalam ucapan ringkasnya ketika tiba di Tel Aviv.

Netanyahu pula mendakwa , Israel berkongsi komitmen keamanan dengan Trump tetapi dia turut mengulangi tuntutan politik dan keselamatan kerajaannya daripada Palestin, termasuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara Yahudi.

Trump berikrar untuk melakukan apa sahaja bagi memeterai keamanan antara Israel dengan Palestin, yang dianggapnya sebagai ‘perjanjian utama’ tetapi hanya memberi sedikit petunjuk bagaimana dia boleh mengembalikan semula rundingan yang menemui jalan buntu pada 2014.

Dalam pada itu, Trump turut meneruskan serangan terhadap Iran dengan sekali lagi menggesa negara itu segera menghentikan sokongan kewangan dan ketenteraan kepada ‘pengganas dan militan.

Dia dengan tegas berkata, negaranya tidak akan membenarkan Teheran memiliki senjata nuklear.

“Apa yang paling penting, AS dan Israel boleh mengisytiharkan dengan satu suara bahawa Iran tidak harus dibenarkan memiliki senjata nuklear untuk selamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 1:42 PM