Agensi

LELAKI yang merempuh orang ramai di laluan pejalan kaki di Times Square New York menyebabkan seorang remaja 18 tahun terbunuh, hari ini, ialah bekas anggota tentera laut Amerika Syarikat yang bermasalah, antaranya ketagihan arak.

Menurut Reuters, 22 orang lagi cedera dalam kejadian itu apabila Richard Rojas, 26, dari Bronx, New York, memandu kereta Hondanya merempuh orang ramai di 45th Street and Broadway di Manhattan, sebelum terhenti akibat melanggar tiang.

Setakat ini, dia menghadapi dakwaan membunuh dan cubaan membunuh.

Lelaki itu pernah ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk pada 2008 dan 2015 dan sekali lagi bulan ini, kerana mengancam seorang lelaki dengan pisau.

Daily Mail melaporkan ketika ditahan, Rojas yang dipercayai khayal akibat dadah marijuana sintetik, berkata kepada polis: “ Saya mahu bunuh semua mereka.”

“Awak perlu tembak saya. Saya mahu bunuh mereka.”


Mangsa yang terbunuh, Alyssa Elsman, 18. - Foto Reuters/Instagram

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Alyssa Elsman dari Portage, Michigan, yang sedang berjalan bersama adik perempuannya berusia 13 tahun. Adik perempuannya itu antara mangsa yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 6:48 PM
Richard Rojas berlari menyerbu ke arah orang ramai selepas keretanya merempuh tiang sebelum ditahan polis. - Foto Charles Guiren/Daily Mail