Dua suspek yang sudah ditahan berhubung kes rogol berkumpulan dan pembunuhan seorang wanita di Sonepat, India. - Foto indianexpress
Reuters

SEORANG wanita berusia 23 tahun dibunuh kejam dengan kepalanya pecah dihentak dengan bata di Haryana, dekat New Delhi, oleh sekumpulan lelaki yang merogolnya selepas dia mengancam akan membuat laporan polis, minggu lalu.

Menurut polis hari ini, dua lelaki sudah ditahan berhubung kejadian yang berlaku di bandar Sonipat, kira-kira 40 kilometer di utara New Delhi dan enam lagi sedang disiasat selepas menerima laporan daripada ibu mangsa.

Superintendan Ashwin Shenvi berkata, wanita yang bekerja sebagai buruh itu dijemput kumpulan lelaki itu, dengan sekurang-kurangnya seorang dikenalinya dari rumah mangsa dan dibawa ke bandar Rohtak berdekatan sebelum dirogol.

“Apabila dia berkata mahu membuat laporan polis, mereka menghentak kepalanya dengan bata. Cara mereka membelasahnya mengerikan,” katanyanya.

Mayat wanita itu ditemui ditinggalkan di tengah padang, Jumaat lalu.

Ibu mangsa pernah membuat laporan polis terhadap seorang lelaki itu kerana mendesak mangsa berkahwin dengannya.

Jenayah seksual mendapat perhatian di India selepas kejadian pelajar perubatan 23 tahun maut selepas dirogol beramai-ramai dalam bas yang membawa kepada pindaan undang-udang mengenakan hukuman lebih berat bagi banyak jenayah, termasuk serangan asid dan keganasan rumah tangga.

Purata, 50 jenayah terhadap wanita direkod polis New Delhi setiap hari, termasuk sekurang-kurangnya empat kes rogol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 5:30 PM