AKMAL (empat dari kanan) bersama ahli pasukan Saiyan.
Hazril Md Nor
hazril.nor@mediaprima.com.my

SEBUT saja Mobile Legends: Bang Bang, kita semua tahu ia adalah permainan mudah alih yang sangat popular, digemari pelbagai lapisan usia terutamanya anak muda.

Minggu lalu, eGG Network dengan kerjasama Moonton menganjurkan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY/SG musim kedua bermula pada Jumaat, 19 Oktober hingga Ahad di Paradigm Mall, Main Concourse yang mengumpulkan lapan pasukan Malaysia termasuk Singapura yang berjaya mendapatkan kedudukan terbaik pada musim liga sebelum ini.

Mereka adalah Flash Tyrants, EVOS SG, AirAsia Saiyan, Geek Fam Mystic, Traitor, Bigetron SG, Geek Fam ICON dan Saiyan Reborn. Pasukan ini merebut wang tunai terkumpul AS$64,000 selepas hampir tiga bulan bertarung dalam musim liga.

Dalam kejohanan selama tiga hari itu menyaksikan wakil Malaysia, Saiyan Reborn dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pesaing dari Singapura, EVOS Esports SG dengan markah 3-2 lalu membawa pulang wang tunai keseluruhan RM128,900.

Saiyan Reborn terdiri daripada kapten pasukan, Akmal Afi Uzair Daud (Silo), Muhd Nurhafis Jamiran (Evil), Muhd Firdaus Abdul Jamil (Rynn), Saw Kee Loong (Loong), Fiqri Atiq Mohd Fauzi Lai (Lacid) dan Muhd Aiqal Amran (Jinn).

Kapten pasukan, Akmal Afi Uzair Daud, 21, berkata, kemenangan ini tidak dijangka kerana pasukan lain yang bertanding hebat-hebat belaka.

“Kami sebenarnya tidak menyangka pun boleh menang kerana sebelum ini terpaksa berdepan dengan AirAsia Saiyan yang jauh berpengalaman dan bermain lebih lama.

“Tapi ternyata rezeki berpihak kepada kami kali ini dan kami berusaha bersungguh-sungguh untuk bergelar juara,” katanya.

Lebih merisaukan, pasukan ini mendapat kedudukan tercorot pada musim liga dan disingkirkan ke lower bracket pada hari acara. Namun itu tidak mematahkan semangat mereka.

“Selepas ke lower bracket, saya masih ingat apa yang terjadi kepada IDNS Thailand ketika MSC 2017. Jadi saya memberitahu ahli lain, kita belum kalah dan teruskan perjuangan.

“Dari situ kami bincangkan strategi dan cara terbaik untuk menang di lower bracket ini. Kami tidak ada pilihan lain kecuali bermain bersungguh-sungguh dan buat apa yang termampu,” katanya.

Akmal berkata, mereka ingin buat yang terbaik selepas ini dan memburu kejohanan lebih besar.

“Kami akan perbaiki kesilapan pada kejohanan ini (MPL) dan menyasarkan untuk masuk Mobile Legends South East Asia Cup (MSC 2019) dan Mobile Star League 2019.

“Kepada peminat, terima kasih atas sokongan anda selama ini. Kemenangan ini bukan untuk kami saja tapi juga buat anda semua,” katanya.

Kepada peminat Saiyan Reborn, anda boleh berkunjung ke acara Permainan Siber Selangor 2018 yang berlangsung di Empire City, Selangor pada Jumaat ini hingga Ahad untuk menyaksikan mereka bersaing dalam kategori Mobile Legends.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 4:00 AM