PEMAIN Kelab Ragbi Beringin Rendang meraikan kemenangan selepas menjuarai Liga Ragbi Johor 2018.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Ketinggalan tiga mata pada awal permainan tidak mematahkan semangat pemain Kelab Ragbi Beringin Rendang untuk muncul juara Liga Ragbi Johor 2018 selepas menumpaskan pasukan Scudie Komodo dalam pusingan akhir di padang ragbi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Kelab Ragbi Beringin Rendang membawa pulang Piala Presiden Persatuan Ragbi Johor dan wang tunai RM1,000.

Nur Muhammad Iqhram yang bermain di posisi ‘prop’ untuk Kelab Ragbi Beringin Rendang pula membawa pulang trofi apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam kejohanan berkenaan.

Hadiah kemenangan disampaikan kepada kapten Kelab Ragbi Beringin Rendang Nazmi Hussin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020, On Jabbar diiringi Presiden Kesatuan Ragbi Johor Mohd Noorazam Osman.

Penaung Kelab Ragbi Beringin Rendang Fizwan Datuk Mohd Rashidi berkata, kejayaan itu amat bermakna buat pasukan dan dia berterima kasih kepada barisan pengurusan dan pemain yang memberi sepenuh komitmen dalam usaha memburu gelaran juara.

“Kami menanti detik ini tiba sejak sembilan tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, pelbagai program pembangunan dan latihan intensif dijalankan sebagai persediaan bagi memantap­kan mutu permainan.

“Secara peribadi, kemenangan ini adalah pengalaman manis buat saya dan tahniah diucapkan kepada barisan pemain serta pengurusan yang terbabit dari awal hingga akhir perlawanan.

“Saya berjanji akan terus memberi komitmen kepada kelab untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.


AKSI lincah pemain ketika perlawanan akhir Liga Ragbi Johor 2018 di padang ragbi UTM, Johor Bahru.

Perlawanan akhir itu menyaksikan Scudie Komodo mendahului perlawanan selepas memperoleh tiga mata hasil sepakan penalti.

Namun, Beringin Rendang yang dibarisi pemain muda dan bekas pemain kebangsaan bangkit mendapatkan mata pendahuluan melalui satu gerakan cantik di bahagian ‘backline’ yang disempurnakan pemain sayap, Amir Hadafi menjadikan kedudukan di separuh masa pertama 5-3.

Babak kedua perlawanan bertambah sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun kesilapan Kelab Ragbi Beringin Rendang memberi kelebihan kepada Scudie Komodo untuk menambah satu lagi mata menerusi sepakan penalti.

Beringin Rendang yang tidak mahu mengalah dalam memburu kejuaraan pertama kemudian memperhebatkan serangan di bahagian hadapan.

Ternyata, kerja keras mereka berbaloi apabila meraih mata kemenangan pada minit akhir perlawanan melalui sepakan penalti yang disempurnakan Amir Aswad sebelum dinobatkan sebagai juara dengan catatan 8-6.


ON (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemain terbaik, Muhammad Nur Iqhram (kanan) ketika majlis penyampaian hadiah sambil diiringi Mohd Noorazam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 12:37 PM