REDZA optimis untuk menarik lebih ramai golongan muda turut serta sebagai sukarelawan Grub Cycle. FOTO Aizuddin Saad
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Menyedari wujudnya isu pembaziran makanan di negara ini, Redza Shahid Md Ridzuan, 29, menggerakkan projek perniagaan keusahawanan sosial dikenali Grub Cycle sebagai penyelesaian untuk mengurangkan masalah berkenaan.

Inisiatif bermula Oktober 2016 itu dilaksanakan menerusi jualan barangan keperluan hampir tamat tempohnya kepada pengguna dan semakin berkembang dengan adanya aplikasi dalam talian yang dibangunkan tahun lalu.

Menariknya, barangan keperluan itu dijual pada harga yang rendah kepada pembeli iaitu dengan potongan antara 30 hingga 50 peratus.

“Saya pernah bekerja di syarikat minyak dan gas serta pelaburan namun mengambil keputusan berhenti selepas mendapat galakan majikan untuk menjalankan perniagaan yang tidak hanya memberi pulangan kepada diri sendiri tetapi impak kepada komuniti.

“Kebetulan belum ada modul perniagaan sebegini di dalam negara. Jadi, saya rasa bertanggungjawab untuk menjadi perintis bagi projek berkenaan.

“Alhamdulillah, inisiatif itu diiktiraf dengan penganugerahan daripada beberapa pihak hingga mendapat perhatian agensi kerajaan untuk memberi bantuan geran yang digunakan bagi membangunkan aplikasi dalam talian,” katanya.

Redza berkata, cabaran utamanya adalah mengubah persepsi masyarakat dan meyakinkan pengguna untuk menerima konsep perniagaan berkenaan meskipun kejayaannya sudah terbukti di Eropah.

Namun, dia tidak berputus asa sebaliknya tekad untuk terus membangunkan perniagaan itu dalam usaha mendidik masyarakat menghindarkan tabiat pembaziran makanan.


REDZA menunjukkan aplikasi yang dibangunkan untuk menjual barangan keperluan hampir tamat tempoh. FOTO Aizuddin Saad

“Selain menjual barangan keperluan yang hampir tamat tempohnya, Grub Cycle turut mengeluarkan produk buatan sendiri iaitu jem nanas, epal dan kimchi diperbuat daripada lebihan buah-buahan.

“Pembuatan produk dalam bentuk jem itu adalah inisiatif kami untuk memanfaatkan buahbuahan daripada dibazirkan begitu saja.

“Sambutan terhadapnya agak baik begitu juga dengan barangan yang lain dan melihat perkembangan positif daripada pengguna, kami kembangkan pula perniagaan ini dengan menjual sayur-sayuran kepada pengguna bermula Ogos lalu,” katanya.

Redza berkata, untuk permulaan, sayur-sayuran itu akan dijual di empat lokasi terpilih bermula dengan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang pada Ogos lalu dan PPR Pantai Ria, baru-baru ini.

Katanya, matlamatnya adalah memenuhi keperluan golongan dan membantu mengurangkan perbelanjaan golongan berpendapatan rendah.

“Memang ada permintaan untuk menjual barangan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sebelum ini tetapi tidak dilaksanakan secara khusus kerana masih baru ketika itu.

“Namun, kini kami cuba lakukannya bermula dengan menjual sayur- sayuran dengan harga yang murah di kawasan terpilih.

“Alhamdulillah, usaha itu menampakkan hasilnya apabila kita dapat mengurangkan 6,000 kilogram (kg) makanan terbuang dalam tempoh dua tahun membabitkan kos RM41,000.

“Itu permulaan yang baik dan kami berharap, inisiatif kini dan pada masa akan datang memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna tidak kira dari apa latar belakang sekalipun,” katanya yang mahu menarik lebih ramai golongan muda untuk turut serta sebagai sukarelawan Grub Cycle.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 12:25 PM