ANTARA aksi Ian.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


LAZIMNYA, sukan papan selaju atau ‘skateboard’ lebih didominasi pemain dewasa kerana corak permainannya yang ekstrem.

Namun, Ian Nur Iman Amri, 11, membuktikan usia bukan penghalangnya bergelar atlet papan selaju negara sekalipun masih di bangku sekolah.

Kehebatan Ian juga terbukti apabila dapat menguasai 100 trik dalam sukan berkenaan selain terpilih untuk ke pusingan kelayakan bagi temasya Sukan Asia di Palembang, Indonesia.

Berkongsi pengalaman, Ian berkata, pembabitannya dalam sukan itu bermula sejak berumur empat tahun. Tiada siapa yang memaksa dia menceburi sukan ini sebaliknya ia didorong oleh keinginan sendiri untuk mencuba.

“Kebetulan, ayah seorang pemain papan selaju, jadi saya kerap mengikutinya ke gelanggang latihan pada waktu terluang.

“Daripada situ, saya dapat bergaul dengan pemain lebih dewasa seterusnya menjalani latihan bersama mereka dengan tunjuk ajar daripada ayah,” katanya ketika ditemui penulis selepas menyertai pertandingan papan selaju sempena acara Sneakerlah 2018 di Pusat Beli-Belah Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ian berkata, selepas beberapa tahun aktif dalam sukan berkenaan, dia memberanikan diri menyertai pertandingan termasuk dalam kategori yang membabitkan pemain profesional.

Katanya, penyertaan dalam pertandingan itu bukan untuk meraih kemenangan sepenuhnya tetapi bertujuan menimba pengalaman bersaing dengan lawan dari pelbagai latar belakang.


AKSI Ian ketika menyertai pertandingan papan selaju sempena acara Sneakerlah 2018 di Pusat Beli-Belah Mid Valley.

“Ayah banyak memberi galakan untuk saya lebih serius dalam sukan ini dan sebab itu, saya masih bertahan sehingga ke hari ini. Untuk pergi lebih jauh, memiliki skil saja tidak cukup tanpa keberanian dan mental yang kuat.

“Lebih-lebih lagi saya yang perlu bersaing dengan lawan lebih berusia tetapi disebabkan minat, saya teruskan walaupun pernah beberapa kali mengalami kecederaan selain tewas dalam pertandingan ,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Nuriman Amri Abdul Manap, 40, berkata, dia menyedari kecenderungan Ian terhadap sukan papan selaju sejak anaknya berumur empat tahun lagi.

Katanya, bertitik tolak dari situ, dia mula menggilap kebolehan anaknya itu dengan menghantarnya mengikuti latihan di Kompleks Sukan Rakan Muda Bukit Kiara selain memberi galakan untuk menyertai pertandingan.

“Tidak sangka dia mengikut jejak langkah saya bermain sukan ini kerana saya tidak pernah memaksanya untuk aktif. Sebaliknya, dia sendiri yang menunjukkan minat dan menyedari hal itu, saya memberi galakan dan bimbingan untuk mahir seterusnya menguasai skil dalam sukan berkenaan.

“Alhamdulillah, kesungguhannya itu mendapat perhatian termasuk syarikat yang menawarkan tajaan. Sebagai bapa, saya bangga dengan pencapaiannya namun akan terus memantau pergerakannya dengan memastikan dia melakukan rutin kecergasan dan latihan setiap hari mengikut waktu ditetapkan.

“Bagi saya, dia boleh pergi lebih jauh cuma perlu diberi perhatian supaya terus konsisten dan sebagai bapa, saya bertanggungjawab membentuknya bukan saja sebagai seorang atlet tetapi individu yang berdisiplin,” katanya.

PROFIL

Nama: Ian Nur Iman Amri

Umur: 11 tahun

Tarikh lahir: 29 Julai 2007

Statusl : Murid Sekolah Kebangsaan Tiara Permai

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 11:12 AM