PROGRAM Bual Bicara Bicara Seni bertajuk Perlukah Seni disiarkan secara langsung di laman FB PeRUPA Malaysia menerusi aplikasi FB Live.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Bagi mendekatkan pelukis lama dan baru, Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA), PeRUPA TV dengan kerjasama Skaki Studio Art serta The Studio Tempayan Emas menganjurkan program bual bicara seni bertajuk Perlukah Seni: Ilham & Pujangga Hamba bertempat di Skaki Studio Art, Sri Rampai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program bual bicara itu dikendalikan pelukis, Abey Zoul selaku moderator dan bersiaran secara langsung selama sejam di laman Facebook (FB) PeRUPA Malaysia menerusi aplikasi Facebook Live (FB Live).

Pelukis terkenal, Sabri Salleh dan Maamor Jantan diundang sebagai ahli panel bagi mengupas lebih lanjut mengenai topik berkenaan.

Presiden PeRUPA Abu Zaki Hadri berkata, program bual bicara itu bertujuan memeriahkan dunia seni tempatan dengan perkongsian ilmu kepada ahli dan penggiat seni secara khususnya.

Katanya, aplikasi FB Live digunakan bagi memudahkan perkongsian mengenai topik dibincangkan ditonton oleh semua dalam satu-satu masa terutama golongan muda yang lebih aktif menggunakan laman sosial.

“Program ini terbahagi kepada tiga segmen dan untuk yang pertama, perbualan lebih berkisar mengenai apresiasi dan tanggapan masyarakat mengenai seni.

“Seni dalam pendidikan juga disentuh dalam segmen kedua dan digarap baik oleh moderator dengan kupasan padat daripada kedua-dua ahli panel yang mahu melihat sejauh mana kepentingannya.

“Di segmen ketiga pula, ahli panel lebih banyak berkongsi idea, panduan dan pandangan dalam meningkatkan potensi diri pelukis sekali gus meyakinkan mereka ia adalah kerjaya yang mempunyai masa depan,” katanya.


SABRI

Menurut Abu Zaki, idea menganjurkan program bual bicara itu di platform laman sosial ternyata mendapat sambutan baik daripada ahli dan pengikut apabila merekodkan hampir 5,000 tontonan.

Katanya, ia satu permulaan yang baik dan sebagai penganjur mereka berharap supaya dapat meneruskan kesinambungan program dengan inti pati lebih menarik pada masa depan.

“Penganjuran program bual bicara secara atas talian sebegini agak menarik kerana membolehkan penonton bertanyakan soalan secara langsung dan ahli panel kemudiannya memberi kupasan bagi menjawab soalan mereka.

“Walaupun ia satu pendekatan yang baru, komunikasi dua hala tetap ada dan diharap, program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat masyarakat terhadap dunia seni sekali gus mendekatkan jurang antara pelukis lama dan baru.

“Di samping itu, saya juga mahu melihat persatuan lebih proaktif dalam menyampaikan ilmu dan mesej kepada ahli seluruh negara dengan adanya program sebegini,” katanya.


MAAMOR

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 2:28 PM