WAN Nur Azren Syarina bersama lampu meja bermotifkan songket yang dihasilkannya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

‘Bermain’ dengan api antara cabaran perlu dilalui penuntut semester enam Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Logam Kontemporari, Wan Nur Azren Syarina Wan Mokhtar, 23, dalam menyiapkan projek pembuatan barang kemas dan lampu meja untuk dipamerkan di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.

Ketiga-tiga projek berkenaan dilakukan sempena Pameran Semester Akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Logam Kontemporari .

Anak ketiga daripada tujuh beradik ini berkata, projek pembuatan barang kemas itu dinamakan ‘The Dance of Peacock’ yang berinspirasikan daripada merak dengan menjadikan kepala burung berkenaan sebagai subjek utamanya.

“Kita sedia maklum burung merak mempunyai bulu yang cantik terutama pada bahagian bulunya.

“Disebabkan itu, saya jadikannya sebagai inspirasi dalam menghasilkan set barang kemas yang membabitkan perhiasan rantai dan gelang tangan.

“Lagipun, ia bersesuaian dengan konsep yang cuba saya ketengahkan iaitu perhiasan untuk perkahwinan mewah,” katanya.

Menurut Wan Nur Azren Syarina, perhiasan berkenaan mengambil masa 10 minggu untuk dihasilkan dan cabarannya adalah ketika proses mencantumkan logam .

Katanya, proses itu membabitkan teknik pateri jadi dia perlu fokus dan berhati-hati bagi mengelak kesilapan berlaku.


WAN Nur Azren Syarina bersama set barang kemas ‘The Dance of Peacock‘.

“Proses mereka bentuk saja mengambil masa selama empat minggu dan boleh dikatakan penghasilan barangan kemas ini tidak mudah memandangkan saya perlu teliti terutama ketika memateri logam.

“Cantuman itu perlu dilakukan satu persatu bagi mendapatkan hasil yang sempurna dan kemas seperti diinginkan.

“Agak sukar sebenarnya tapi cabaran itu yang membuatkan saya belajar untuk fokus dalam menyiapkan sesuatu projek,” katanya.

Kata Wan Nur Azren Syarina, selain set barang kemas, projek pembuatan lampu meja juga menguji kemahirannya untuk mencantumkan logam dengan kaedah pateri.

Namun, dia cuba lakukan yang terbaik demi mendapatkan hasil berkualiti untuk dipersembahkan dalam pameran berkenaan.

“Untuk projek ketiga, saya hasilkan lampu tetapi bermotifkan songket kerana mahu menonjolkan elemen tradisional pada perhiasan berkenaan.

“Bahagian paling sukar adalah mendapatkan bentuk songket kerana tidak menggunakan kain sebaliknya logam sebagai bahan pembuatan.

“Lebih mencabar apabila saya perlu mencantumkan kepingan logam yang nipis tetapi puas hati selepas dapat menyempurnakan projek berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 4:00 AM