ZAKI ketika misi jelajahnya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Zahirnya, dia nampak sihat, namun siapa sangka Zaki Mohd Yamani, 28 sebenarnya berjuang untuk hidup selepas disahkan menghidap kanser darah (Hodgkins Limfoma) empat tahun lalu.

Meskipun penyakit itu kini sudah di tahap tiga, Zaki tetap positif malah kini dalam misi menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia dengan konsep ‚mengembara tumpang‘ (hitch-hiking) sejak 10 Julai lalu.

Berbekalkan wang 10 sen, Zaki memulakan pengembaraannya di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dan dijangka menamatkan misi berkenaan dalam tempoh sebulan.

“Ini bukan kali pertama saya mengadakan misi ini kerana pernah menjelajah seluruh Malaysia pada 2016 diikuti penjelajahan di Borneo tahun lalu dan Sabah pada Februari lalu.

“Boleh dikatakan, misi ini kesinambungan yang terdahulu dan matlamat saya adalah menyebarkan mesej positif dengan menziarahi pesakit kanser di kawasan dilalui.

“Menerusi pertemuan itu, saya akan berkongsi pengalaman selain memberi sokongan moral kepada mereka untuk terus kuat melawan penyakit,” katanya.


MISI jelajah berkonsepkan 'hitch-hiking' untuk mendekati pesakit kanser.

Menurut Zaki, pengalaman lalu sangat membantunya melaksanakan misi berkenaan dan lebih bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sepanjang perjalanan.

Baginya, cabaran itu lebih menguatkan semangatnya untuk menyempurnakan misi berkenaan yang dianggap satu peluang berharga untuk bertemu masyarakat pelbagai latar belakang.

“Saya lakukan misi solo dengan konsep sebegini kerana sukakan cabaran dan mencari kepuasan dengan cara tersendiri.

“Misi ini juga salah satu cara saya untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa pesakit kanser tidak lemah sebaliknya cergas dalam melakukan aktiviti sebegini.

“Harapan saya supaya apa yang dilakukan ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pesakit dan ahli keluarga mereka,“ katanya yang juga pernah menawan puncak Kinabalu.


ZAKI berharap dapat menyempurnakan misi solonya.

Zaki berkata, banyak lagi aktiviti yang dirancang pada masa depan dan dia berharap ia dapat memberi manfaat kepada semua terutama pesakit kanser.

“Kalau boleh, saya mahu membentuk satu stigma positif dalam kalangan pesakit, ahli keluarga dan masyarakat terhadap penyakit kanser.

“Ia mengambil masa namun boleh dilakukan antaranya menerusi aktiviti yang membabitkan semua pihak contohnya misi ini.

“Semua ini tidak mustahil dengan adanya sokongan daripada semua pihak dan saya berterima kasih kepada keluarga serta rakan yang sentiasa memberi galakan untuk terus berbakti kepada masyarakat,” katanya.


MISI jelajah solo untuk cari kepuasan dengan cara tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 12:33 PM