Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Tidak dinafikan lagi, ‘survival’ game menawarkan sesi permainan yang seronok dan mencabar. Anda akan menyaksikan setiap pemain melakukan apa yang termampu untuk memastikan karakter mereka terus berjuang dalam permainan.

Oleh itu, kewujudan Playerunknown’s Battlegrounds (PUBG) memberikan pemain ini peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing.

Tapi itu di komputer meja. Bagaimana pula dengan anda yang gemar bermain PUBG di telefon pintar? Kadang-kadang kerana terlalu cepat ingin ke pejabat, membuatkan anda tidak sempat bermain permainan itu di rumah terlebih dulu.

Apa kata cuba kelainan dengan memuat turun permainan seakan-akan PUBG ini. Diberi nama Last Battleground: Survival, anda akan ditempatkan di kawasan terpencil bagi mencari peluang untuk terus hidup.

Berpaksi kepada konsep penerokaan, anda perlu meneroka pulau itu untuk mencari peti rawatan kecemasan, makanan dan senjata untuk terus kekal relevan dalam permainan itu.

Selain itu, pakaian seperti baju dan kasut juga amat diperlukan untuk menambahkan tahap ketahanan karakter anda.

Pada mulanya anda tidak dibekalkan senjata. Oleh itu, kekal fokus dan mencari senjata di merata tempat untuk menewaskan setiap musuh yang dijumpai.

Perlu diingatkan, dalam permainan seakan-akan Hunger Games ini, tiada siapa pun menjadi kawan anda. Bagaimanapun, mod Player Team membolehkan anda bermain bersama rakan.

Semakin lama semakin sukar

Sama seperti PUBG, peluang anda untuk mencari kawasan selamat semakin sukar, jadi ia akan bertukar menjadi medan pertempuran.

Anda boleh diserang dari mana-mana arah. Gunakan kebijaksanaan untuk mencari tempat menyorok dan manfaatkan kelebihan senjata sebaik-baiknya.

Setiap kali perlawanan baru bermula, kawasan selamat juga akan bertukar tempat. Ini membuatkan pengalaman anda lebih mencabar dan seronok!

Permainan mudah alih ini turut menyokong fungsi sentuhan yang mudah dan optimum bagi telefon pintar. Fungsi seperti menunduk, menembak dan bergerak lebih mudah dengan butang yang tersedia.

Dari segi grafik, Last Battleground: Survival menawarkan visual yang sangat cantik dan anda juga diberi kebebasan untuk mengalihkan kamera dan melihat keadaan sekeliling.

Walaupun grafiknya cantik, permainan ini menawarkan sesi permainan yang lancar dan sesuai untuk telefon pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 7:04 AM