CRISTOFORO
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Kreatif dan unik. Artis muda dari Itali ini bijak menghasilkan lukisan dua dalam satu.

Sekali pandang, ia nampak seperti lukisan biasa namun apabila lampu dipadamkan atau ia diletak dalam ruang gelap, hasil seni Cristoforo Scorpiniti bercahaya seperti lukisan magis.

Gemar menterjemahkan landskap dan haiwan sebagai subjek utama di atas kanvas, hasil karya Crisfotoro mendapat perhatian penggemar seni di seluruh dunia melalui perkongsiannya di media sosial.

Cristoforo menggunakan cat khas bercahaya dalam gelap yang mampu menampakkan imejnya walaupun dalam keadaan gelap dan waktu malam.


LUKISAN artis muda Itali ini yang bercahaya dalam gelap umpama karya magis

Menurutnya, teknik yang digunakan menggunakan medium khas itu lebih sesuai menonjolkan lukisan landskap kerana ia menghasilkan kesan seperti landskap pada waktu malam yang diterangi cahaya bulan dan bintang.

Selain itu, ia turut menggambarkan haiwan dan landskap itu mempunyai kehidupan berbeza pada waktu malam dengan kesan warna yang berlainan.

Mengetengahkan garisan yang organik dan tompokan kecil dalam setiap karya, Cristoforo mahu menterjemahkan visual seakan-akan awan dan cahaya bintang di langit.

Bagi penggemar karya anak muda ini, mereka bukan saja dapat dua lukisan dalam satu kanvas tapi karya seni itu turut berfungsi memberi cahaya pada waktu malam dan menggantikan lampu tidur.

Selain kanvas, artis muda ini juga bijak meneroka medium berbeza bagi mengekspresikan idea dan kreativitinya seperti gitar.


SERLAHKAN kreativiti dengan menggunakan gitar sebagai kanvas.

Koleksi terbaru Cristoforo adalah lukisan dua dalam satu di atas gitar yang menggunakan teknik dan cat yang sama.

Idea itu bukan saja mempelbagaikan hasil koleksi tapi pada masa sama menyuntik kelainan pada alat muzik berkenaan yang kebiasaannya begitu peribadi bagi setiap pemilik.

Idea unik Cristoforo tercetus ketika dia melalui detik sukar dalam kehidupannya apabila dibuang kerja dan terpaksa pulang ke kampung halaman iaitu di selatan Itali.

Nekad ingin terus ke hadapan, Cristoforo mendorong dirinya untuk menjauhi fikiran negatif dan kemurungan dengan mengembangkan potensi dirinya melalui seni visual.

Hasil kerja tangan Cristoforo bukan sekadar berjaya menambat hati pengumpul seni di Itali sebaliknya ia dikenali secara global kerana turut dipasarkan secara dalam talian. Maklumat lanjut layari Instagram @criscoart.


ANTARA lukisan yang dihasilkan menjadikan haiwan dan landskap sebagai subjek utama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 6:58 AM