NG (kiri) membalas pukulan pemain Philipina, Robert Andrew Garcia pada aksi separuh akhir skuasy individu wanita Sukan SEA 2017.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Peningkatan prestasi pemain skuasy remaja, Ng Eain Yow bukan saja menyerlah pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos lalu malah persembahannya sepanjang Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini juga memberi gambaran masa depan lebih cerah buat negara menerusi sukan itu.

Meskipun tidak berjaya melakar kemenangan dan tewas kepada pemain Hong Kong, Leo Au dalam perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia, Juara Remaja Dunia 2016 ini sudah memberi aksi sebaik mungkin untuk merangkul gelaran juara.

Di sebalik kejayaan dan jatuh bangun Ng dalam sukan ini, pasti ramai tertanya-tanya bagaimana minatnya tercetus sekali gus berjaya melakar nama di peringkat dunia.

Penulis berpeluang menemu bual anak kelahiran Kuala Lumpur ini untuk mencungkil kisah pembabitannya sebagai pemain skuasy negara.

Menurut pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur ini, dia mula meminati sukan skuasy apabila sering mengikuti bapanya ke gelanggang untuk bermain skuasy.

“Bapa saya pemain skuasy sosial, rutin mengikutinya ke gelanggang skuasy menyebabkan saya mula ‘jatuh cinta’ terhadap sukan ini.

“Oleh itu, pada usia lima tahun, bapa mula melatih saya untuk mengasah bakat dan kemahiran sedia ada menerusi sukan ini.

“Memulakan kerjaya pada usia semuda ini, bukan mudah sebenarnya kerana saya perlu berkorban banyak perkara terutama masa bersosial bersama rakan.

“Namun, saya tidak menyesal memilih skuasy untuk diceburi kerana amat kagum dengan rentak permainannya.

“Bagi saya, skuasy sukan unik dan boleh diibaratkan seperti permainan catur yang memerlukan seseorang berfikir secara strategik dan menggunakan pelan permainan yang efektif selain mementingkan kecergasan fizikal,” katanya.

Kata Ng, selain mengorbankan masa bersosial dia juga terpaksa menghadapi cabaran besar dalam membuat keputusan penting antara masa depannya dan sukan skuasy.


NG (dua kiri) dan S Sivasangari (tiga dari kiri) yang memenangi pingat emas, manakala Mohammad Syafiq Mohd Kamal serta Rachael Mae Arnold pingat perak bagi acara skuasy individu sempena Sukan SEA KL2017.

“Selepas tamat sekolah menengah, saya menghadapi kesukaran membuat keputusan sama ada mahu melanjutkan pengajian di luar negara atau menceburi sukan ini sepenuh masa.

“Selain skuasy, saya juga amat minat belajar dan memang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

“Bagaimanapun, setiap permulaan ke arah kejayaan pasti ada perkara yang perlu dikorbankan.

“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk fokus dalam sukan ini sepenuh masa kerana berhasrat mewakili negara di pentas dunia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perasaannya saat berjaya menjadi pemain Malaysia kedua merangkul gelaran Juara Remaja Dunia 2016 pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2016 di Bielsko-Biala, Poland, Ng mengakui teruja memenangi kejohanan itu kerana impiannya selama ini sudah tercapai.

“Sekian lama saya bekerja keras dan berlatih bersungguh-sungguh bagi melayakkan diri beraksi di kejohanan itu.

“Usaha saya ternyata berbaloi dan memang benar setiap usaha gigih pasti dibayar dengan kejayaan yang setimpal.

“Sehingga hari ini, saya masih ingat detik kemenangan yang menyebabkan raket terlepas dari genggaman dan tidak mampu menahan air mata kegembiraan mengalir keluar.

“Ini kenangan terbaik sepanjang karier saya dan amat berbangga dapat mengharumkan nama negara di pentas dunia sekali gus membuktikan Malaysia Boleh!

“Kemenangan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan jurulatih, keluarga, rakan atlet dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong serta menyemarakkan semangat saya dengan kata-kata positif,” katanya yang bernaung di bawah MILO.

Katanya, setiap kali beraksi di pentas dunia perasaan bangga dan terharu kerana dipilih mewakili negara tidak pernah padam sehingga hari ini.

“Sebaik menjejakkan kaki di gelanggang, saya berazam memberikan aksi terbaik dalam setiap persembahan.

“Ini kerana saya percaya sokongan rakyat Malaysia amat penting untuk berjaya apatah lagi apabila mendengar sorakan anda yang menaikkan semangat saya.

“Sebagai atlet, sorakan dan kata-kata postif anda amat penting kerana ia dapat mendorong kami untuk meraih lebih banyak kejayaan,” katanya.

Selain itu, Ng turut menyatakan penghargaannya kepada Milo yang banyak membantu dalam pembentukan sebagai pemain skuasy negara.

“Milo menyokong kerjaya saya sejak awal dan amat berterima kasih kerana menyediakan platform bermanfaat dengan menganjurkan pelbagai kejohanan menerusi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

“Dari sini, saya dapat meningkatkan kemahiran dan kebolehan sehingga peringkat antarabangsa.

“Sokongan mereka bukan untuk saya saja malah ramai lagi atlet negara yang dilahirkan menerusi program MSSM.

“Kami berterima kasih kerana diberi peluang untuk bertanding di pentas dunia dengan sokongan Milo yang berterusan,” katanya.

Kata Ng yang kini menduduki ranking 144 dunia, selepas memenangi emas perseorangan lelaki acara skuasy di Bukit Jalil pada temasya Sukan SEA KL 2017, dia tidak mahu ‘sambil lewa’ kerana masih banyak kejohanan yang bakal dipertandingkan sepanjang tahun ini untuk menyumbang kedudukannya di peringkat dunia.

“Setiap kemenangan bukan alasan untuk saya sekadar berpuas hati tetapi lebih membakar semangat dalam diri agar terus mempersiapkan diri demi menyumbang pingat pada temasya Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun hadapan.

“Oleh itu, saya menasihatkan remaja yang berminat menceburi sukan skuasy agar bekerja keras dan berlatih bersungguh-sungguh.

“Tiada apa yang mustahil apabila anda berusaha untuk mencapainya.

“Perkara paling penting adalah menghormati ibu bapa, jurulatih dan rakan sepasukan untuk melakar kejayaan.

“Jangan lupa, Juara Takkan Gentar!,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 11:07 AM