5 tip dorong anda ‘jatuh cinta’ dengan amalan berjimat cermat.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Amalan membawa bekal makanan dari rumah lazimnya dilakukan ketika di bangku sekolah namun lebih baik jika menjadi kebiasaan setiap hari.

Bukan hanya dapat menjimatkan kos tetapi amalan itu juga menjadikan kita lebih peka dengan bahan digunakan dalam menyediakan makanan.

Tidak perlu menyediakan menu berat tetapi memadai hidangan ringkas. Jadi idea ini cukup praktikal untuk semua termasuk golongan bujang yang terbeban dengan kos sara hidup.

Untuk itu, Gen Y kongsikan lima tip yang boleh mendorong anda ‘jatuh cinta’ dengan hobi ini:

BUANG RASA MALU DAN MALAS

Penyakit 2M iaitu malas dan malu antara faktor yang menyebabkan ramai enggan membawa bekal makanan ke kuliah atau tempat kerja.

Sedangkan mereka tahu ia lebih menjimatkan berbanding membeli makanan di kedai makan atau restoran.

Jadi, jika mahu berjimat, mulakan dari sekarang dengan membawa bekal dari rumah!

SEDIAKAN MENU RINGKAS

Untuk menjimatkan masa, tidak perlu memasak sebaliknya sediakan saja menu seperti roti yang disapu jem untuk dibawa ke kuliah atau pejabat.

Nampak ringkas tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengalas perut anda sebelum masuk waktu makan tengah hari.

Selain roti, banyak lagi menu ringkas dan antaranya buah-buahan juga boleh dijadikan bekalan makanan dari rumah!

BUAT JADUAL MENU HARIAN

Menikmati menu sama setiap hari pasti membosankan, bukan? Jadi sediakan jadual dan rancang menu berbeza untuk dimakan pada waktu pagi atau tengah hari.

Cara ini lebih menyeronokkan dan pasti membantu anda bersemangat untuk membawa bekal setiap hari.

Disiplin amat penting dan pastikan anda mengikut jadual!

BELAJAR RESIPI MENARIK DI INTERNET

Sambil melayari media sosial, apa kata anda curi masa belajar resipi masakan mudah yang terdapat di Internet.

Buka saja YouTube , taip nama masakan dan anda akan menemui pelbagai video berkaitan dengannya.

Kini, semuanya di hujung jari !

AJAK ‘GENG’ BAWA BEKAL BERSAMA

Untuk lebih menyeronokkan, ajak rakan baik anda untuk turut berjimat dengan membawa bekal makanan dari rumah.

Dengan cara ini, anda boleh saling bertukar hidangan dan jadikan ia seperti konsep ‘pot luck’.

Lebih banyak rakan yang turut serta, lebih banyak hidangan yang boleh dimakan!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 5:11 AM