SYED (kiri) bersama Pengarah Urusan Yamaha Music (M) Sdn Bhd Nobuhide Ito.
Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my


Pada usia 21 tahun dia sudah berjaya menerima pengiktirafan daripada Yamaha Music. Itulah pencapaian membanggakan Syed Harith Daniel Syed Anuar atau lebih senang dipanggil Syed yang menganggap pencapaian itu selain usaha sendiri dibantu keluarga dan rakan sekeliling.

Mula berjinak-jinak dengan muzik seawal usia 10 tahun menjadikan dia yakin, minatnya terhadap muzik mampu membuatkannya melangkah lebih jauh kelak.

Mula seawal 10 tahun

“Saya belajar bermain piano sejak usia 10 tahun dan apabila masuk sekolah menengah baru belajar main saksofon (Wind Orchestra). Sepanjang itu, tiga tahun saya belajar main ‘sax’ dan dua tahun lagi belajar trumpet.

“Waktu sekolah, saya main sax untuk dihantar ke orkestra, jarang dapat main solo. Tapi, apabila masuk UiTM baru dapat belajar khusus untuk menjadi pemain solo. Sifu saya, Patrick Terbrack, pemain saksofon profesional dari Amerika Syarikat,” katanya.

Terpilih daripada ratusan orang

Ramai pemuzik yang berbakat di Malaysia. Bermain muzik bukan seperti pertandingan, ia kepuasan diri sendiri dan bagaimana seseorang itu belajar lebih untuk memantapkan tekniknya.

Syed berkongsi kelebihannya dengan rakan seperjuangan. Band Budak Nakal Hujung Simpang (BNHJ), Fazz antara platform dia menajamkan bakat selain berkongsi idea dengan rakan.


SYED (kiri) dan penerima anugerah yang lain bersama Pengarah Urusan Yamaha Music (M) Sdn Bhd Nobuhide Ito (tengah).

“Kalau ditanya, untuk sekarang, pencapaian tertinggi adalah mendapat anugerah daripada Yamaha Music iaitu ‘Yamaha Music Schorlarship Asia 2017’.

Difahamkan, biasiswa ini untuk membantu membangunkan minat anak muda berbakat dalam bidang muzik khas untuk mereka yang masih menuntut di pusat pengajian.

“Saya tersenarai dalam enam lagi penerima anugerah yang dibahagikan dalam kategori berbeza antaranya flute, piano, klarinet dan saya saksofon. Bangga apabila usaha selama ini menampakkan hasil dan diiktiraf orang lain,” katanya.

‘Tiup’ depan ibu bapa

Antara momen yang dia tidak dapat lupakan apabila meniup saksofon di depan ibu bapanya.

“Masa terima anugerah, saya diberi peluang buat persembahan depan hadirin. Ibu bapa saya pun ada. Jujur, itulah yang paling ikhlas dalam dunia. Sebab jarang sangat mak ayah datang tengok saya ‘perform’. Jadi, bila dapat buktikan pada mereka tahap saya bermain saksofon hingga dapat terima anugerah, itu dah cukup gembira buat saya,” katanya.

Ditanya kenapa memilih saksofon, Syed berkata sambil ketawa, mungkin ia takdir.


PERSEMBAHAN pada International Reggae Festival 2016.

“Saya seorang mudah belajar, cepat ‘tangkap’. Dalam masa dua bulan, saya dah boleh main saksofon dalam orkestra. Walaupun ada main instrumen lain, tetap pilih saksofon sebab rasa ia paling sesuai dengan saya.

“Tak ramai yang boleh main saksofon. Kalau nak kira pemain tempatan yang boleh bekerja sebagai solo, tak sampai 100 pun. Kalau pancaragam atau orkestra mungkin ramai. Tapi kalau solo, sangat sikit. Sebab itu antaranya saya pilih saksofon untuk kurang bersaing dengan orang lain. Walaupun hakikatnya ia agak susah,” katanya.

Syed yang pernah bermain pada acara besar seperti KL Jazz Festival, International Reggae Festival dan Publika Jazz Festival berkata, apa yang menjadikannya sekarang adalah minat dan usaha.

“Untuk yang minat, apa juga instrumen tak susah, Kena ada minat dan kukuhkan ilmu. Berlatih dan pasti boleh,” katanya yang menyimpan impian besar untuk mencuba bermain di International Jazz Festival seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 12:14 PM