PASUKAN bomba muda yang semuanya terdiri daripada kanak-kanak perempuan di Miejsce Odrzanskie, Poland.
Agensi

SEBUAH penempatan yang hanya didiami wanita mungkin dianggap sebagai kisah fiksyen Hollywood satu ketika dulu namun ia dilaporkan benar-benar wujud di Poland.

Malah, ia turut menyebab­kan saintis bingung kerana gagal merungkai situasi pelik yang dianggap sebagai misteri di kampung Miejsce Odrzan­skie apabila langsung tiada bayi lelaki dilahirkan di situ sejak hampir 10 tahun lalu.

Daripada datuk bandar, anggota bomba, pemandu traktor, semuanya digalas wanita yang agak janggal dilihat di negara yang me­ngamalkan kehidupan sosial konservatif.

The Sun melaporkan, beberapa pasangan yang masih menetap di kampung itu langsung tidak mempunyai anak lelaki apabila semua 12 bayi yang dilahirkan adalah perempuan sejak satu dekad lalu.

Populasi di kawasan perkampungan yang berhampiran sempadan Czech itu berkurangan kepada hanya 270 orang berbanding 1,200 pada 1945 dan kebanyakan penduduk terutama lelaki meninggalkan kampung untuk berhijrah mencari pekerjaan di luar negara.


JABATAN bomba suka rela menjadi tumpuan untuk kehidupan sosial masyarakat setempat.

Menurut The New York Times, kampung itu kali pertama mendapat perhatian beberapa media Poland selepas ia menghantar pasukan diwakili semua wanita dalam pertandingan anggota bomba sukarela di peringkat wilayah.

Datuk Bandar, Krystyna Zydziak berkata, sejak itu pihaknya tidak menang tangan melayan pertanyaan media akibat terlalu ramai yang ingin tahu.

Baru-baru ini, terdapat kru dari empat stesen televisyen turut dihantar ke kampung yang mempunyai 96 rumah untuk membuat liputan mengenai misteri ketiadaan penduduk lelaki.

Sejak kejatuhan komunis pada 1989, penghijrahan rakyat itu ke luar negara menjadi trend terutama selepas ia menyertai Kesatuan Eropah (EU) pada 2004 dan kini dilaporkan terdapat lebih dua juta warga Poland di negara lain di Eropah.

Krystyna berkata, setiap keluarga pasti mempunyai seseorang yang tinggal di luar negara termasuk dirinya yang mempunyai dua anak perempuan yang tinggal di Jerman.

“Sesetengah penduduk agak risau dengan situasi sekarang terutama siapa yang akan melakukan kerja pertanian pada masa hadapan,” katanya.

Musim panas dianggap waktu paling sibuk di kampung itu dan apabila penduduk bersedia untuk menuai tanaman jagung selain tanaman gandum yang akan dilihat subur.

Pada masa itu, sudah pasti wanita dan gadis dilihat memenuhi kawasan ladang termasuk Adriana Pieruszka, 20, yang menghabiskan waktu cuti dengan mengendalikan traktor di ladang gandum milik keluarga.

Kenderaan lain jarang dilihat melalui kawasan itu memandangkan tiada sekolah, kafe, restoran atau pasar raya dan hanya jabatan bomba suka rela menjadi tumpuan sosial masyarakat di situ.

Adriana melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di universiti pernah menjadi penyelia bagi pasukan bomba kanak-kanak selama empat tahun.

“Kami langsung tidak mempunyai wakil lelaki, tetapi berjaya memenangi beberapa pertandingan besar di Poland sejak ditubuhkan enam tahun lalu,” katanya.

Anggota bomba profesional, Tomasz Golasz yang mengasaskan pasukan bomba muda di kampung itu berkata, ia bukan ideanya untuk menubuhkan pasukan.

“Saya dihampiri sekumpulan gadis pada 2013 yang meminta saya mengajar mereka untuk pertandingan. Mereka amat meminati­nya dan dua bulan sebelum pertandingan mereka datang untuk berlatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 9:17 AM