SISTEM pembayaran menggunakan kod QR dianggap sudah lapuk.
SEORANG wanita mengimbas wajahnya untuk membuat bayaran.
Agensi

TANPA wang tunai, kad kredit, dompet mahupun telefon pintar pengguna di China hanya memerlukan wajah mereka untuk membuat pembayaran, ketika kaedah teknologi imbasan wajah semakin diterima secara meluas di negara itu.

Kemudahan bayaran telefon bimbit di China antara yang tercanggih di dunia, tetapi sistem baru diperkenalkan itu hanya memerlukan pengecaman wajah, sekali gus menjadikan kaedah pembayaran seperti menggunakan kod QR seakan lapuk.

Pengguna membuat pembayaran hanya dengan menunjukkan wajah di hadapan mesin ‘point-of-sale’ (POS) yang dilengkapi kamera. Proses pengecaman wajah dihubungkan dengan sistem pembayaran digital atau akaun bank mereka.

Ketua Pegawai Maklumat Wedome Bakery, Bo Hu yang menggunakan teknologi pengecaman wajah di ratusan kedai berkata, dia tidak perlu membawa telefon bimbit dan boleh membeli-belah tanpa membawa apa-apa.

“Perkara ini agak mustahil walaupun ketika peringkat awal pembayaran mudah alih - hanya selepas teknologi pengecaman wajah diperkenalkan, kita mampu membuat pembayaran tanpa menggunakan apa-apa,” katanya.

Katanya, 300 kedainya kini dilengkapi dengan sistem bayaran wajah dan dia merancang meluaskannya ke semua perniagaan miliknya.

Perisian itu sudah digunakan meluas, kebiasaannya untuk memeriksa kerakyatan, selain bagi mengecam pejalan kaki yang melanggar lampu isyarat dan menangkap penjenayah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa turut dikritik kerana menggunakan teknologi itu untuk mengawasi orang ramai terutama di wilayah Xinjiang, tempat tinggal etnik Uighur.

“Terdapat risiko besar. Kerajaan mungkin menggunakan data ini untuk kepentingan mereka seperti perisikan, pemantauan dan mengintip musuh politik, kawalan maklumat dan sosial, profil etnik,” kata Adam Ni, pengkaji China di Universiti Macquarie di Sydney.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai keselamatan dan privasi, pengguna dilihat tidak kisah apabila teknologi itu semakin meluas digunakan.

Alipay anak syarikat Alibaba menjadi peneraju teknologi itu dengan bertapak di 100 bandar.

Tencent yang beroperasi bersama aplikasi WeChat yang mempunyai 600 juta pengguna turut memperkenalkan mesin pembayaran wajah dikenali sebagai Frog Pro pada Ogos lalu.

Walaupun terdapat kebimbangan teknologi itu menyimpan data pengguna, ramai berpendapat ia juga melindungi privasi mereka berbanding menekap kata laluan sekiranya ada sesiapa di sebelah.

Bagaimanapun, ramai pengguna lebih mementingkan penampilan diri mereka berbanding keselamatan sistem berkenaan.

Tinjauan pendapat portal Sina Technology mendapati lebih 60 peratus responden berkata, mengimbas wajah mereka untuk pembayaran menjadikan mereka berasa buruk.

Sebagai tindak balas, Alipay berjanji untuk memperkenalkan penapis kecantikan pada semua kamera pada mesin pembayaran syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 9:03 AM