SEORANG wanita dipukul sebagai hukuman (Gambar hiasan).
Agensi

“JIKA saya pulang, mereka akan membunuh saya. Tetapi, jika tidak pasti keluarga yang menerima ajal.”

Begitu kata seorang wanita Afghanistan, Masuda, seorang daripada ramai perempuan di negara itu yang kini bimbang jika Taliban kembali berkuasa, susulan perjanjian damai yang sedang dibincangkan bersama Amerika Syarikat (AS).

Masuda yang dipaksa berkahwin pada usia 12 tahun kepada suami yang kerap menderanya berkata, gadis muda dipaksa berkahwin kadangkala kepada lelaki yang jauh berusia.

Dia yang kini berusia 21 tahun bersembunyi di pusat perlindungan wanita sejak tiga bulan lalu dan menceritakan pengalaman cuba melarikan diri daripada rumah tangga yang penuh keganasan.


KAFE milik Laila antara tempat terhad di Kabul yang membolehkan lelaki dan wanita duduk minum bersama

“Namun setiap kali dia mencari dan menemui saya sebelum memaksa saya pulang. Setiap kali juga lebih teruk dia membelasah saya,” katanya kepada Al Jazeera.

Dia akhirnya dijual kepada lelaki lain, tetapi kemudian berjaya melarikan diri ke pusat perlindungan itu.

Menurutnya, wanita yang cuba mengadu mengenai suami pendera kepada Taliban akan dihukum. Suami terbabit kemudian akan diarahkan mengambil semula wanita berkenaan dengan arahan boleh melakukan apa saja termasuk membunuhnya kerana itu ‘haknya.’

Kebimbangan Masuda turut disuarakan aktivis Laila Haidari. Wanita itu yang tidak bertudung dan gemar bersosial dengan rakan mengakui bimbang nyawanya akan terancam jika Taliban kembali berkuasa.

Ketika pemerintahan Taliban, wanita dilarang bersekolah, bekerja malah dipukul jika menyanyi atau keluar rumah tanpa ditemani mahram.


DUA wanita menjahit di sebuah pusat perlindungan di Kabul

Semua itu berubah selepas Taliban ditumpaskan tentera Amerika Syarikat pada 2001 seterusnya wanita seperti Laila mampu hidup lebih bebas dan bermakna.

Wanita itu menjadikan misinya untuk membantu penagih dadah selepas melihat kehidupan abangnya musnah akibat ketagihan heroin, dan kini digelar ‘Ibu Seribu Anak’ atas usahanya.

“Jika Taliban kembali berkuasa semua usaha kami tidak berguna lagi,” katanya yang juga memiliki kafe untuk wanita dan lelaki bebas berjumpa.

Menurutnya, dia bimbang hak asasi wanita tidak akan diendahkan dalam perjanjian untuk membolehkan tentera AS keluar dari Afghanistan, susulan Washington terdesak mahu meninggalkan negara itu.

Peguam Najia Sadiq masih ingat bagaimana dia terpaksa berhenti sekolah selepas Taliban berkuasa ketika dia berusia 12 tahun, sedangkan sebelum itu dia antara pelajar cemerlang dalam kelasnya.

“Hari ini, wanita di kawasan yang kembali dikuasai Taliban hilang keupayaan bersuara. Secara luaran nampak seperti kawasan berkenaan tiada masalah - sudah pasti, jika tiada mangsa yang mampu meminta bantuan, bagaimana dunia luar mahu tahu keadaan sebenar di situ?” katanya.

Dia mengaku bimbang masa depan anak perempuannya apatah lagi bakal menimang anak kedua tidak lama lagi.

“Apa yang berlaku ketika saya masih kanak-kanak memang mengakibatkan trauma. Saya tidak mahu anak sendiri melaluinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 8:57 AM