SEORANG pelancong yang dilumur jus tomato di Festival Tomatina di Bunol, Sepanyol.
Reuters

RIBUAN pelancong dan penduduk tempatan membaling beberapa tan tomato antara satu sama lain sekali gus menjadikan bandar Bunol di Sepanyol ini diliputi warna merah.

Pada tahun ini, penganjur festival yang dikenali sebagai Tomatina membekalkan 145 tan tomato masak menggunakan enam trak besar untuk dibaling peserta.

Sebahagian peserta dilihat memakai gogal untuk melindungi mata mereka daripada terkena jus tomato yang dibaling.


PADA tahun ini penganjur menyediakan 145 tan tomato masak yang dibawa menggunakan enam trak besar untuk dibaling peserta.

Beberapa dinding bangunan juga ditutup dengan plastik khas bagi mengelak ia rosak terkena jus tomato.

Menurut penduduk, pesta itu dikatakan bermula secara spontan apabila berlaku pergaduhan antara penduduk pada 1945.

Pergaduhan itu berlanjutan hingga mereka membaling tomato antara satu sama lain.


FESTIVAL ini dikatakan bermula daripada pergaduhan penduduk yang membaling tomato antara satu sama lain.

Pesta itu diharamkan pada 1950-an ketika era pemerintahan diktator, Jeneral Francisco Franco tetapi kembali popular pada 1980-an.

Kini pesta tahunan itu menarik ribuan pelancong dari luar negara termasuk Britain, Amerika Syarikat, Perancis, Jepun dan rakyat Sepanyol sendiri.

Pada tahun ini, Majlis Perbandaran Bunol mengedarkan lebih 20,000 tiket kepada pelancong yang berminat menyertai acara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 10:40 AM