PEMANDANGAN Sepaku di Kalimantan, antara lokasi dikatakan bakal dijadikan ibu kota Indonesia yang baharu.
AFP

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) secara rasmi mengumumkan rancangan memindahkan ibu kota negara itu dari pulau Jawa yang padat ke Kalimantan Timur di Borneo kira-kira 2,000 kilometer dari Jakarta.

Kerajaan Indonesia merancang membina bandar raya moden dan lebih terancang berbanding Jakarta yang kini berdepan ancaman tenggelam dalam tempoh beberapa puluh tahun lagi.

Lokasi sebenar ibu kota baharu itu masih rahsia.

Bagaimanapun, pengkritik memberi amaran, rancangan itu mungkin mencetuskan krisis alam sekitar yang lain kerana Kalimantan memiliki hutan hujan yang luas yang menempatkan spesies terancam seperti orang utan.

Jakarta yang mempunyai hampir 30 juta penduduk berdepan pelbagai masalah seperti kesesakan jalan raya yang teruk selain pencemaran dan sering dilanda gempa bumi serta banjir.


ORANG utan antara spesies terancam yang tinggal di hutan Kalimantan.

Ibu kota itu juga antara bandar paling cepat tenggelam di dunia.

Pakar memberitahu, satu pertiga daripada Jakarta akan ditenggelami air menjelang 2050 akibat pengurangan simpanan air bawah tanah, peningkatan aras laut dan keadaan cuaca yang tidak menentu akibat perubahan iklim.

Pembinaan ibu kota baharu di Kalimantan itu dijangka bermula tahun depan dengan kos AS$33 bilion (RM139 bilion) dan 1.5 juta penjawat awam dijangka mula berpindah menjelang 2024.

Kalimantan yang turut dikongsi Malaysia dan Brunei terkenal dengan aktiviti perlombongan utama.

Pulau itu juga memiliki hutan hujan unik, antara beberapa lokasi di dunia didiami orang utan dengan habitat asalnya.

Perlombongan dan perladangan kelapa sawit kini mengancam Kalimantan serta habitat spesies terancam di situ.


SEORANG lelaki duduk di atas timbunan sampah di satu kawasan setinggan di Jakarta.

Kumpulan alam sekitar memberi amaran, masalah itu akan menjadi semakin buruk sekiranya sebuah bandar besar dibina di kawasan perlindungan hutan utama.

Pada tahun lalu, satu tumpahan minyak besar juga berlaku di Kalimantan.

“Kalimantan Timur kini berada dalam tekanan alam sekitar yang besar,” kata jurucakap jaringan alam sekitar Indonesia (WALHI), Zenzi Suhadi.

“Ada beratus-ratus lombong dan perladangan. Apabila kawasan itu menjadi terlalu padat (dengan ibu kota baharu), adakah mereka akan memindahkannya ke lokasi

lain lagi?” soalnya.

Pemimpin tempatan di Kalimantan turut bimbang kerana tidak pasti sama ada ibu kota baru itu akan membantu penduduk di Borneo yang sebelum ini dipinggirkan dan memberi lonjakan ekonomi di wilayah mempunyai kira-kira 20 juta penduduk.

“Kami bimbang mengenai keadaan hutan kami kerana kami mempunyai hubungan yang rapat dengan alam,” kata ahli akademik dan ketua komuniti Dayak, Yulius Yohanes.

Kerajaan Indonesia memberitahu, hutan yang dilindungi tidak akan terjejas dengan pembinaan ibu kota baharu itu.


ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di satu kawasan hutan di Kalimantan pada 2015.

Jokowi turut mengumumkan untuk tidak lagi mengeluarkan permit baharu membersihkan hutan utama untuk pertanian dan pembalakan.

“Namun, masih ada risiko hutan utama ini akan terjejas,” kata Zenzi.

Kebakaran hutan yang sering berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah untuk pertanian berlaku setiap tahun di Kalimantan, memusnahkan ribuan hektar hutan dan mencetuskan jerebu yang hingga ke negara jiran.

“Rancangan untuk memindahkan ibu kota itu mesti dibatalkan sekiranya kerajaan gagal mengatasi isu kebakaran hutan,” kata pakar perancang bandar, Nirwono Joga.

Rancangan itu juga mendapat reaksi skeptikal oleh kebanyakan penduduk.

Tinjauan pendapat yang dilakukan baru-baru ini mendapati 95 peratus responden tidak bersetuju dengan langkah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 10:15 AM