KIRA-kira sejuta kaum Rohingya tinggal di 27 kem di kawasan Kutupalong-Balukhali
Agensi

DUA tahun lalu pada awal pagi Ogos, Safina Begum melarikan diri dari rumahnya dan meredah kawasan paya serta bendang selama tiga hari sehingga sampai di kem pelarian Kutupalong di negara jiran, Bangladesh.

Wanita Rohingya itu yang kini berusia 23 tahun berkata, dia hanya mahu menyelamatkan diri selepas melihat keluarganya dibunuh askar Myanmar.

“Saya menyaksikan mereka membunuh bapa dan dua abang. Ketika itu, memang cuma terfikir untuk menyelamatkan diri lalu saya terus lari dari situ.

“Kehidupan di kem pelarian memang sukar, namun sekurang-kurangnya saya masih ada nyawa. Jika kembali ke Myanmar, pasti saya mati dibunuh,” katanya kepada Al Jazeera.

Hampir sejuta orang Rohingya seperti Safina tinggal di 27 kem pelarian di selatan Bangladeh. Kebanyakannya tiba di situ dua tahun lalu, apabila lebih 700,000 penduduk kumpulan etnik berkenaan melarikan diri ke Bangladesh susulan serangan tentera terhadap mereka yang bermula pada 25 Ogos 2017.


SHAFIQ menjadi tukang jahit.

Mereka menyertai ratusan ribu orang Rohingya yang sudah pun berada di Bangladesh sebelumnya kerana melarikan diri daripada keganasan pada 1970-an dan 1990-an.

Naypyidaw mendakwa kononnya memburu pengganas, tetapi masyarakat antarabangsa diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap kempen ketenteraan itu sebagai genosid, malah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) melancarkan siasatan penuh terhadap kejadian itu.

Portal International Policy Digest memetik seorang pelarian Rohingya mengaku sanggup membunuh diri jika dipaksa pulang ke Myanmar.

Walaupun Myanmar nampak seolah-olah membuat persediaan untuk menerima semula golongan Rohingya, kumpulan hak asasi manusia mempertikaikan sejauh mana keadaan di negara itu selamat untuk mereka pada masa ini.

Bagaimanapun, negara Barat dilihat gagal mengambil langkah tegas untuk mengenakan tekanan terhadap Myanmar.


PEMUDA Rohingya beriadah di kem pelarian.

Pada masa sama, perjanjian antara Bangladesh dan Myanmar untuk menerima semula kaum Rohingya juga amat tidak realistik, termasuk dari segi tempoh untuk melaksanakannya.

Apatah lagi tiada jaminan terhadap keselamatan orang Rohingya jika mereka bersetuju pulang ke negara itu. Tentera Myanmar juga gagal memberi jaminan melindungi hak Rohingya termasuk untuk kerakyatan penuh.

Tanpa kerakyatan penuh, orang Rohingya akan terus ditindas dan berdepan diskriminasi. Human Rights Watch memetik seorang lelaki berkata: “Menerima keadaan itu bererti kita mengaku menjadi warga asing.”


PENGHUNI kem turut berniaga sebagai mata pencarian.

Banyak laporan juga menyatakan Rohingya yang pulang akan dihantar ke lokasi tidak ubah seperti penjara susulan kediaman dan perkampungan asal mereka kebanyakannya sudah dimusnahkan.

Sementara itu, lebih selamat untuk mereka kekal di kem pelarian di Bangladesh, malah tidak kurang juga antara mereka menjalankan perniagaan kecil sebagai mata pencarian.

Seorang daripadanya, Shafiq memberitahu Al Jazeera dia berusia empat tahun ketika datang ke kem Kutupalong bersama bapanya pada 1991.

Dia yang kini berusia 32 tahun menjalankan perniagaan menjahit di kem Nayapara.

“Ramai juga yang menempah baju dengan saya. Mereka sukakan hasil kerja saya kerana mampu mengikut fesyen terkini.

“Saya datang ketika masih kecil dan hidup sebagai pelarian seumur hidup ini. Memang saya langsung tidak ingat apa-apa mengenai tempat asal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 9:14 AM