PASAR Al-Hamidiyah Souq di Damsyik yang meriah dengan kedai menjual pelbagai barangan seperti pakaian dan buah-buahan.
Agensi

MUNGKIN tiada siapa yang sanggup menggadai nyawa untuk melawat kawasan bergolak seperti Syria yang berdepan perang saudara, apatah lagi menjadikan negara itu sebagai destinasi pelancongan.

Bagaimanapun, seorang pengembara dan jurugambar, James Bingham yang melawat Syria, baru-baru ini menggambarkan lawatan ke Damsyik, Homs, Aleppo dan Palmyra yang juga Tapak Warisan Dunia Unesco sebagai sangat menakjubkan.

Gambar yang dirakam Bingham yang berasal dari Britain itu menunjukkan kemusnahan berskala besar di Syria seperti bangunan dan lebuh raya yang runtuh serta lubang besar akibat letupan bom.

Namun, Bingham turut merakamkan secebis harapan penduduk Syria apabila hotel kembali menerima tetamu, masjid dibina semula dan kanak-kanak tersenyum walaupun kehidupan mereka dihimpit peperangan.

Pemberontakan yang bermula pada 2011 membawa Syria kepada perang besar-besaran sebelum negara itu dikuasai kumpulan Daish yang kini sudah dihapuskan

di kebanyakan kawasan.

Kejatuhan Daish dan kumpulan pemberontak lain memberi keyakinan kepada Bingham untuk menempah tiket bagi menerokai budaya dan sejarah penduduknya.

“Walaupun Syria masih zon konflik yang aktif, kebanyakan kawasan dikawal kerajaan dan selamat dikunjungi,” katanya.


SEKUMPULAN kanak-kanak Syria tersenyum ketika wajah mereka dirakamkan.

Ketika melawat negara itu dengan bantuan seorang pemandu pelancong tempatan dan pemandu peribadi, Bingham merakamkan be

berapa gambar menyedihkan dan keadaan penduduk yang cuba menjalani kehidupan mereka sebaik mungkin.

Ketika melawat Aleppo, Bingham merakamkan gambar sekumpulan kanak-kanak yang tersenyum ke arahnya walaupun keadaan di sekitar bandar itu musnah teruk.

Bingham turut melawat Masjid Khalid ibn al-Walid yang kini menjalani proses baik pulih bernilai jutaan dolar selepas musnah dibom.

Pemandu pelancong Bingham mendesak dia melawat pesta bunga di Damsyik yang diadakan semula selepas dihentikan selama sembilan tahun akibat peperangan.

Katanya, pesta itu menunjukkan bandar berkenaan dan penduduknya mula bangkit daripada peperangan.

Bingham juga tidak melepaskan peluang melawat bandar purba Palmyra dan merakamkan pelbagai artifak bersejarah yang kini hancur dimusnahkan Daish.

“Bandar ini dulunya mempunyai lebih 50,000 penduduk tetapi ia kini kosong dan rosak teruk. Ia seperti bandar hantu dengan rumah, kedai dan restoran semuanya kosong atau musnah.

“Namun, sebilangan penduduk mula kembali ke bandar ini,” katanya kepada Mail Online.

Bingham juga terkejut dengan tempat tinggalnya sepanjang di Syria.


PEMANDANGAN kota purba Palmyra yang juga Tapak Warisan Dunia Unesco yang kini musnah akibat peperangan.

Di Damsyik, Bingham tinggal di Hotel Beit al-Mamlouka yang cantik dan menerima layanan baik daripada pekerjanya.

Ketika di Aleppo, Bingham bermalam di hotel lama Dar Halabia yang pernah menjadi markas kumpulan Daish.

“Hotel ini dibuka semula selepas dikembalikan kepada pemiliknya yang membuat baik pulih. Walaupun bangunan ini cantik, kawasan sekitarnya banyak yang musnah.

“Hotel ini tiada elektrik, Internet atau air panas tetapi saya bangga menjadi tetamu pertama datang ke sini,” jelasnya.

Menurut pengembara itu, sambutan dan layanan mesra penduduk Syria sepanjang lawatan itu akan dikenang sepanjang hayatnya.

“Lawatan ke Syria adalah pengalaman paling menginsafkan tetapi sangat berharga dalam kehidupan saya. Ia sebuah negara yang cantik dan menakjubkan. Saya melihat dan belajar banyak perkara.

“Masih banyak cabaran yang dihadapi penduduk kerana perang belum tamat tetapi keadaan semakin baik dan penduduk di sini mula membangunkan apa yang pernah mereka miliki sebelum ini,” katanya.


MEJA penyambut tetamu di Hotel Baron Aleppo yang juga hotel tertua di Syria yang tidak menerima tetamu buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 10:26 AM