RATUSAN belon udara panas terbang di udara Grand Est Mondial Air Balloons dalam cubaan untuk memecahkan rekod.
Agensi

RUANG udara Hageville di timur Perancis kelihatan indah, berwarna-warni dipenuhi belon sempena penganjuran festival belon udara panas terbesar atau ‘Grand Est Mondial Air Balloons’, baru-baru ini.

Menurut AFP, festival itu yang sebelum ini memegang rekod dunia selepas menerbangkan 456 belon secara serentak pada 2017, sekali lagi menjadi perhatian dunia dalam cubaan untuk memecahkan rekod berkenaan.

Bagaimanapun, tahun ini penganjur gagal memecahkan rekod itu walaupun Festival Grand Est Mondial Air Balloons yang ke-16 itu menarik penyertaan 1,000 belon dan 3,000 juruterbang dari 70 negara.

Dengan rekod 400,000 pengunjung, festival berkenaan diadakan pada 26 Julai hingga 4 Ogos lalu, di Pangkalan Udara Chambley-Bussieres di Hageville, timur Perancis.


PEMANDANGAN dari udara menunjukkan lebih 400 belon udara panas diterbangkan di pangkalan udara Chambley-Bussieres.

Selain penerbangan belon udara panas, festival itu turut menyediakan muzium penerbangan, kedai dan kaunter penerangan.

Acara utama diadakan pada 28 Julai menghimpunkan ratusan belon udara panas bersedia berlepas di atas landasan sepanjang enam kilometer.

Portal berita KRQE melaporkan, selain Perancis, festival seumpama itu turut diadakan secara besar-besaran di negara lain, termasuk di satu kawasan yang luasnya sama besar dengan 54 padang bola di Albuquerque, New Mexico.


GRAND Est Mondial Air Balloons diadakan dua tahun sekali di Perancis sebagai antara festival terbesar dunia.

Walaupun festival di Perancis itu dianggap sebagai terbesar di dunia, ia tidak boleh menandingi penganjuran di Albuquerque tahun lalu, yang menerbangkan 567 belon udara panas secara serentak.

Belon udara panas ialah teknologi penerbangan pertama yang berjaya mengangkut penumpang.

Ia kali pertama diterbangkan pada 21 November 1783 oleh Jean-Francois Pilatre de Rozier dan Francois Laurent d’Arlandes di Paris, Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 10:05 AM