ASAP menjulang ke angkasa selepas unit kejuruteraan tentera Syria meletupkan bahan letupan yang ditemui di Douma, Ghouta Timur. - AFP
AFP

SELEPAS perang Syria tamat, petani, Abu Thaer kembali mengusahakan ladangnya di wilayah Daraa, tetapi malangnya dia terpijak periuk, sekali gus mengubah kehidupannya.

Ketika ditemui di sebuah pusat perubatan di Damsyik, lelaki berusia 46 tahun itu menarik seluar sukan hitam dipakainya, menunjukkan kaki palsunya.

“Saya sedang membersihkan rumput apabila terpijak periuk api dan letupan jerangkap samar itu mengubah kehidupan saya sekelip mata,” katanya yang menggunakan nama samaran kerana bimbang menjadi mangsa balas dendam.

Abu Thaer antara ribuan penduduk Syria yang cedera akibat terkena periuk api di ladang, jalan raya dan bangunan yang ditinggalkan pihak bertelagah dalam perang selama lapan tahun.


SEORANG askar mengesan periuk api yang ditanam di sebatang jalan di Ghouta Timur. - AFP

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Wanita memberitahu, ratusan lagi dilaporkan terbunuh akibat periuk api.

Menurut agensi itu, Julai lalu, 15 kanak-kanak antara orang awam yang terbunuh akibat periuk api, bahan letupan atau bom tangan yang ditinggalkan di beberapa bahagian di negara itu.

Abu Thaer mengusahakan tanaman gandum dan tomato di kampungnya di barat Daraa sebelum kawasan itu ditawan militan Daish.

Tentera Syria berjaya menguasai semula wilayah itu tahun lalu selepas pertempuran selama beberapa minggu.


UNIT kejuruteraan tentera Syria membuat persediaan meletupkan bahan letupan dan peluru yang ditemui. - AFP

“Saya biasa mengusahakan tanah untuk pertanian, tetapi kini saya tidak mampu lagi untuk bekerja. Saya hanya boleh melakukan kerja ringan,” jelasnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan di seluruh Syria, lebih 10 juta penduduk tinggal di kawasan yang terdedah dengan bahaya bahan letupan.

Kerajaan Syria juga berusaha membersihkan kawasan yang berjaya ditawan semula daripada bahan letupan.

Kebiasaannya Kementerian Pertahanan membuat pengumuman sebelum meletupkan bahan letupan yang ditemui dalam kuantiti yang besar di kawasan yang ditawan semula.

Di Ghouta Timur, di pinggir Damsyik, sepasukan tentera membuat carian di sebuah penempatan kecil dan kawasan sekitarnya untuk sisa letupan, selepas setahun kumpulan militan diusir.


SEORANG askar menggunakan batang besi untuk mengesan periuk api dan bahan letupan lain yang ditanam di satu kawasan di Ghouta Timur. - AFP

Menggunakan alat pengesan logam dan batang kayu panjang, mereka mengalihkan mortar, peluru dan periuk api ke dalam lubang sebelum diletupkan dari jauh.

Letupan kuat kemudian bergema disusuli dengan asap hitam menjulang ke udara selepas pasukan itu meletupkan bahan letupan berkenaan menggunakan alat kawalan jauh.

“Ia cabaran besar,” kata komander unit kejuruteraan tentera Syria yang memantau operasi membersihkan periuk api di daerah Al-Muleha.

Pegawai tentera itu yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka berdepan kesukaran kerana tiada peta menunjukkan lokasi periuk api ditanam kerana kumpulan militan menanam jerangkap samar itu dalam rumah, ladang pertanian dan bangunan pentadbiran sebelum berundur.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan operasi membersihkan semua periuk api mungkin mengambil masa puluhan tahun.

Pegawai tentera berpangkat jeneral, Mayas Mahmud Issa yang mengetuai operasi membersihkan periuk api di Ghouta Timur berkata, pasukannya sudah membersihkan 21 bandar dan kampung sejak kawasan itu ditawan pada April 2018.

“Kami sudah memusnahkan 140 tan peluru dan bahan letupan pelbagai bentuk, saiz dan berat yang dibuat di dalam serta luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 9:45 AM