ABDEL Haleem menggunakan Doroob Navigator ketika memandu ke arah sebuah pos kawalan tentera Israel di Ramallah.
Reuters

APLIKASI navigasi yang dibangun berasaskan Google Maps dan Waze membantu penduduk Palestin mengelak sekatan jalan raya dan pusat pemeriksaan tentera Isarel, memberi sedikit kebebasan perjalanan kepada mereka.

Aplikasi Doroob Navigator yang dilancarkan Jun lalu mengumpul maklumat penutupan jalan dan aliran trafik daripada data pengguna sebelum memaparkan ‘laluan selamat’ kepada pengguna.

Navigasi menggunakan Google Maps dan Waze dianggap kurang lengkap kepada pendudul Palestin untuk melepasi sekatan serta pusat pemeriksaan Israel yang menawan Tebing Barat ketika perang 1967.


DOROOB Navigator dibangunkan kerana aplikasi pandu arah lain tidak cekap.

Menurut laporan Bank Dunia, sekatan jalan raya mengehadkan pergerakan dan menjejaskan ekonomi Palestin kerana ada ratusan pos kawalan dibina di semua laluan keluar masuk perkampungan dan bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Doroob Technologies, Mohammad Abdel Haleem, berkata idea membangunkan aplikasi itu muncul selepas dia tersesat ketika menggunakan Google Maps mencari laluan di Baitullaham dan Ramallah.

“Kami terpaksa bermula dari bawah dengan membina peta sendiri kerana perisian peta sedia ada tidak dapat mengesan kerumitan seperti benteng, penempatan dan pos kawalan,” katanya.

Selepas dua bulan, aplikasi itu sudah mempunyai lebih 22,000 pengguna. Ia dibiayai syarikat perisian pengangkutan dan kenderaan Ramallah, Ideal, yang turut dikendalikan Abdel Haleem.


ANTARA pos kawalan tentera Israel di Tebing Barat.

Beliau berharap dapat menjana pendapatan melalui Doroob Navigator dengan menjadikan aplikasi itu sebagai perkhidmatan penghantaran pada masa depan.

Tebing Barat yang berselerak dengan penempatan Yahudi dan dan kem tentera manakala tembok pemisah dibina melingkari wilayah itu, dihuni kira-kira tiga juta rakyat Palestin serta sekitar 450,000 penduduk Yahudi.

Aplikasi itu memberi panduan ‘laluan pintas’ bagi mengelak bandar Palestin yang banyak sekatan jalan raya. Perisian Doroob Navigator menggabungkan laporan pengguna dan data dimasukkan secara manual oleh kakitangan bagi membantu pemandu mengelak pusat pemeriksaan yang biasanya tidak boleh dilalui kenderaan Palestin.

Selain di Tebing Barat, Doroob Navigator juga boleh digunakan di Gaza.

“Kami perlukan aplikasi seperti ini untuk bergerak dalam Palestin. Aplikasi lain tidak memahami kesukaran kami,” kata Nicolas Harami, 31, yang sering menggunakannya untuk memandu dari rumahnya di Baitulmaqdis Timur ke Ramallah.


BENTENG keselamatan berhampiran Beit Horon, di Tebing Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 9:38 AM